KELAB-KELAB Liga Malaysia (Liga-M) menyatakan komitmen untuk berbelanja secara berhemah biarpun kuota pemain import bagi musim 2025–2026 dibuka kepada 15 pemain.
Malah, pertambahan tersebut dilihat mampu meningkatkan daya saing setiap pasukan, namun setiap kelab harus mematuhi pelaksanaan penuh peraturan Financial Fair Play (FFP) yang mengehadkan perbelanjaan gaji kepada maksimum 80 peratus daripada bajet tahunan kelab.
Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid menganggap peraturan baharu ini sebagai lonjakan positif buat Liga-M.
“Peraturan baharu ini bakal memberi impak besar terhadap liga. Intensiti permainan akan lebih tinggi. Ini peluang terbaik bagi pemain tempatan meningkatkan kemampuan mereka jika mahu pergi jauh dalam sukan ini,” katanya.
Bagaimanapun, Md Joh Wid turut memberi peringatan agar kelab tidak terlalu ghairah dalam berbelanja.
“Situasi ini kami perlu waspada. Jangan hanyut hanya kerana mahu kuat di atas padang, tetapi akhirnya poket koyak. Berbelanja berpada-pada tidak bererti kita akan lemah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang FC, Jeffrey Chew pula menekankan keperluan pasukan membuat penilaian yang teliti sebelum membawa masuk pemain import.
“Pemain-pemain ini ada beberapa kategorinya. Ada yang mahal kerana mereka telah berada di pasukan yang bagus dan ada yang pernah bermain di liga kita, kemudian berpindah ke luar negara dan kini mahu kembali ke sini.
“Kami akan menjaga proses pemilihan supaya tidak terlalu banyak berbelanja dan akan menilai keperluan sebenar. Kami juga akan memastikan bajet mencukupi sebelum membelanjakan dengan bijak. Itu yang penting,” katanya.
Bagi Pengurus Terengganu FC, Shahrizan Mohd Zain, penambahan kuota import dijangka memberi kelainan baharu kepada saingan musim depan.
Namun, beliau turut berharap isu tunggakan gaji dan masalah kewangan tidak lagi membelenggu kelab-kelab Liga-M.
“Mungkin dengan kuota yang ditambah, liga akan menjadi lebih meriah, tetapi apa yang penting ialah pasukan-pasukan dapat berbelanja mengikut kemampuan masing-masing.
“Setakat ini, Terengganu FC menggunakan sembilan pemain import kerana terlibat dalam Kejuaraan Kelab ASEAN, tetapi untuk musim depan belum diputuskan lagi.
“Kita akan berbelanja ikut kemampuan kewangan kita,” tambahnya, sambil memaklumkan bahawa persiapan pasukan termasuk pemain import dan tempatan sedang giat dijalankan.