Liga Premier tidak akan dikembalikan tahun depan – Rossi

Liga Premier tidak akan dikembalikan tahun depan – Rossi


PETALING JAYA – Harapan peminat bola sepak negara untuk melihat kembali saingan Liga Premier seawal musim depan tidak akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat kerana kesuntukan masa, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi.

Beliau berkata, perkara itu tidak dapat dilakukan dengan cepat kerana MFL memerlukan masa untuk meneliti segala-galanya dengan terperinci sebelum memutuskan sama ada liga itu boleh dikembalikan.

Rossi bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk merealisasikan idea itu pada masa hadapan selepas mendapat maklumat terperinci mengenai semua aspek operasi Liga Premier.

“Mengenai (idea untuk mengembalikan semula) pertandingan divisyen dua (Liga Premier) musim depan, saya rasa kita sudah kesuntukan masa.

“Bagaimanapun, kami (MFL) tidak menutup pintu sepenuhnya dengan berkata ‘ya’ atau ‘tidak’ untuk mengembalikan Liga Premier. Kita perlu melakukan kajian menyeluruh sebelum membuat sebarang perubahan pada masa hadapan,” katanya selepas sesi pertemuan bersama media di sini hari ini.

Untuk rekod, MFL melakukan perubahan dengan menggantikan Liga Premier dengan Piala MFL sebagai salah satu inisiatif memperkukuh pembangunan pemain Bawah-23 (B-23).

Bagaimanapun, langkah ini nampaknya masih belum membuahkan hasil positif kepada skuad B-23 negara, kerana kebanyakan pasukan lebih cenderung meletakkan pemain asing atau senior sebagai pemain utama berbanding memberi peluang kepada bakat muda.

Kali terakhir Liga Premier diadakan adalah pada 2022, dengan Johor Darul Ta’zim II muncul juara musim itu.

Sementara itu, Rossi menyifatkan mencari cabaran baharu antara faktor utama mendorong beliau menerima tawaran sebagai CEO MFL berkuat kuasa awal bulan ini.

Warga Itali berusia 34 tahun yang berpengalaman luas dalam bola sepak itu berkata salah satu cabarannya adalah berkaitan isu gaji dan kewangan yang dilihat sebagai kemelut bukan sahaja menjejaskan industri tempatan tetapi juga di negara lain.

Dalam pada itu, beliau  meminta sedikit masa untuk mengenali keseluruhan struktur MFL sebelum  menetapkan misi dan visi serta hala tujunya.

Rossi, ditawarkan kontrak selama empat tahun, menggantikan posisi Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontrak bersama MFL selaku CEO pada 31 Ogos lepas. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top