08 Februari 2025 12:22am
Masa membaca: 4 minit
Pemain Kuching City FC James Onyekachukwu (kanan) dihalang pemain pertahanan Perak FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri hari ini. Foto Bernama
KUCHING City FC gagal memperbaiki kedudukan selepas terikat 1-1 dengan Perak FC 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Negeri di Sarawak malam ini.
Aksi babak pertama perlawanan berlangsung seimbang apabila kedua-dua pasukan berbalas serangan, sebelum Perak membuka tirai gol menerusi Muhammad Firdaus Saiyadi yang menyempurnakan hantaran kemas penyerang import Clayton Da Silva pada minit ke-14.
Kuching City berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71 hasil tandukan padu Muhammad Ramadhan Saifullah Usman yang menewaskan penjaga gol skuad The Bos Gaurus.
Pasukan tuan rumah yang memperoleh suntikan semangat melancarkan serangan bertali arus namun pertahanan Perak terus kental mematahkan setiap serangan sehingga wisel tamat ditiup.
Keputusan itu menyaksikan Kuching City kekal di kedudukan keenam liga selepas mengumpul 22 mata, satu mata di belakang Perak di kedudukan kelima.
Pemain Penang FC Rodrigo Da Silva ketika melakukan asakan ke arah gawang gol pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam ini. Foto Bernama
Sementara itu, Kelantan Darul Naim (KDN) FC terus kecewa selepas tewas 1-6 di tangan Penang FC di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu.
Jaringan tunggal KDN diperoleh menerusi Syahir Abdul Rashid pada minit ke-34, sementara Penang membalas menerusi empat jaringan peribadi Rodrigo Da Silva (minit ke-28, ke-67, ke-83 dan masa kecederaan), selain Nik Akif Syahiran Nik Mat (ke-42) dan Dylan Christopher (masa kecederaan).
Keputusan itu menyaksikan KDN terus terperosok di kedudukan terakhir saingan Liga Super musim ini. – Bernama