Liga Super: Penang FC rehatkan Akmal Rizal

Liga Super: Penang FC rehatkan Akmal Rizal


KUALA LUMPUR – Status jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli akhirnya terjawab apabila dia sah direhatkan oleh pengurusan pasukan itu.

Perkembangan terkini itu diumumkan pengurusan Harimau Kumbang dalam satu kenyataan di platform media sosial rasmi mereka.

“Susulan daripada prestasi yang kurang memuaskan pasukan Penang FC di dalam Liga Super, satu Mesyuarat Lembaga Pengarah yang telahpun ditetapkan lebih awal telah diadakan pada 21 Oktober 2024 bagi membincangkan hala tuju selanjutnya berhubung dengan pengurusan Pasukan Penang FC.

“Susulan daripada mesyuarat lembaga pengarah tersebut, satu keputusan telah dibuat untuk menggantikan jurulatih utama pasukan Liga Super Penang FC dengan jurulatih yang lebih berpengalaman dalam Liga Super bagi meningkatkan prestasi serta persaingan pasukan Liga Super Penang FC.

“Usaha dan dedikasi Coach Akmal Rizal adalah amat dihargai dan memandangkan beliau masih mempunyai kontrak bersama dengan Penang FC, beliau akan dikekalkan bagi meneraju pasukan lain di bawah Penang FC.,” katanya kenyataan itu.

Penang FC turut mengesahkan Mat Saiful Mohamad dilantik sebagai pengendali interim dan dibantu pengarah teknikal, Merzagua Abderrazak.

Kedua-dua individu itu dilihat di bangku teknikal Penang FC dalam aksi menentang Sabah FC pada 25 Oktober lalu bagi menggantikan Akmal.

Sementara itu, pengurusan kelab turut mengesahkan pasukan itu sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa orang jurulatih untuk mengisi peranan sebagai ketua jurulatih.

Perbincangan untuk memuktamadkan kontrak sudah diadakan sejak 21 Oktober lalu di mana Penang FC bakal mengumumkan ketua jurulatih baharu sejurus kontrak dimuktamadkan antara kedua-dua pihak.

“Terdapat beberapa orang calon jurulatih utama yang telah dikenal pasti oleh pihak Lembaga Pengarah dan perbincangan bagi memuktamadkan kontrak telahpun bermula sejak 21 Oktober 2024.

“Ketua jurulatih yang baharu akan diumumkan sejurus selepas perkara dalam kontrak dimuktamadkan tidak lama lagi,” tambahnya.

Tugas pertama Mat Saiful ialah mengendalikan skuad Penang menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam ini.

Harimau Kumbang tempang tanpa empat tonggak yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan atau penggantungan. Empat tonggak tersebut ialah Rafael Vitor, Khairu Azrin Khazali, Adib Raop dan Fairuz Zakaria. – MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top