KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) menghadiahkan penamat bermakna di hadapan penyokong sendiri apabila menundukkan Kedah Darul Aman FC (KDA) 3-0 dalam perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam ini.
Dalam perlawanan itu yang tidak mengubah kedudukan TFC di tangga kelima liga, jaringan menerusi Safawi Rasid pada minit ke-45, Ubaidullah Shamsul (minit ke-74) dan Nurillo Tukhtasinov di penghujung permainan membolehkan pasukan tuan rumah menutup saingan dengan meraih tiga mata.
Selepas mengharungi 24 perlawanan, Sang Penyu secara keseluruhan mengumpul 35 mata dengan meraih sembilan kemenangan, lapan kali seri dan tujuh kekalahan.
KDA pula menamatkan saingan musim ini di kedudukan ke-11 liga dengan mengumpul 21 mata.
Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali berpuas hati TFC menutup musim ini dengan kemenangan di hadapan penyokong setia mereka.
“Secara keseluruhan, saya turut berpuas hati dengan komitmen barisan pemain TFC sama ada ketika latihan atau semasa perlawanan sepanjang tujuh bulan saya mengendalikan pasukan ini,” katanya selepas perlawanan. – UTUSAN