Lilian lebur rekod 41 tahun

Lilian lebur rekod 41 tahun


Tokyo: Pelari Kenya, Lilian Odira melakukan kejutan besar apabila menewaskan juara Olimpik, Keely Hodgkinson untuk merangkul emas acara 800 meter (m) wanita di Kejohanan Dunia.

Lilian mencatat rekod kejohanan baharu, selain memperbaiki catatan peribadi terbaiknya, dengan masa 1 minit 54.62 saat (s), mengatasi rekod lama 1:54.68s yang dilakukan Jarmila Kratochvilova dari Czechoslovakia di Helsinki pada 1983.

Georgina Hunter Bell pula membawa pulang pingat perak dengan catatan peribadi terbaik 1:54.90s selepas foto penamat menewaskan rakan sepasukan serta rakan latihannya, Keely, yang terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

“Ini adalah kejohanan dunia pertama saya dan saya amat bersyukur dapat meninggalkannya sebagai juara dunia. Ia sudah lama saya nantikan,” kata Lilian, yang hanya mara ke separuh akhir di Sukan Olimpik Paris dan meraih perak di Sukan Afrika tahun lalu.

Keely, yang memenangi dua pingat perak di kejohanan dunia sebelum ini, menjadi pilihan utama untuk meraih emas meskipun dia kurang beraksi musim ini.

Atlet berusia 23 tahun itu mengakui dia hampir terlepas peluang untuk ke kejohanan dunia kerana masalah hamstring yang dialami sejak meraih emas Olimpik Paris tahun lalu, dan hanya kembali beraksi pada Ogos.

“Ia terlepas daripada saya sekali lagi. Saya sudah memberikan yang terbaik. Saya akan kembali melihat apa yang boleh diperbaiki. Saya mahukan emas, jadi sedikit kecewa,” katanya.

“Saya fikir jika ada yang beritahu saya pada Jun lalu, ‘Anda akan berlari, dapat pingat gangsa’, saya pasti akan menerimanya. Tetapi saya tiba di sini sebagai pilihan utama dan mahu membuktikannya.”

Dalam perlumbaan yang begitu pantas, juara bertahan Mary Moraa dari Kenya mendahului sejak awal dengan Keely mengekori rapat di lorong dalam.

Apabila loceng berbunyi menandakan baki satu pusingan, Keely terperangkap selepas pelari Switzerland, Audrey Werro memintas, tetapi dia tetap berusaha mengekalkan rentak di lorong dalam untuk terus bersaing.

Dengan baki 200m, Keely akhirnya berjaya melepasi Audrey di lorong dalam sementara Georgina turut mara ke depan dan pada 40m terakhir kelihatan Britain bakal menguasai 1-2 podium.

Namun, mereka tidak menjangka kepantasan Lilian yang memecut kencang di garisan penamat untuk meraih emas mengejutkan.

Ia adalah pingat global pertama buat Lilian, 26, yang sebelum ini mencatat rekod peribadi 1:56.52s ketika menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Keely di Siri Liga Berlian Silesia bulan lalu.

“Pusingan pertama begitu pantas. Saya tahu perlu menekan lebih di pusingan kedua. Ia memang laju,” kata Lilian.

“Saya tahu perlumbaan ini akan jadi yang terpantas dalam kejohanan dan saya mengambil peluang itu. Saya berjaya menghabiskan dengan pecutan paling berkuasa dan bernasib baik membawa pulang pingat emas.

“Pingat ini amat bermakna untuk saya. Ia buat anak-anak saya, berusia empat dan dua tahun. Mereka adalah motivasi saya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top