Pearly (kanan) dan Thinaah mara ke suku akhir Terbuka Singapura selepas menewaskan pasangan Jepun. Foto Agensi.
SKUAD badminton negara meneruskan rentak cemerlang apabila dua lagi beregu melangkah ke saingan suku akhir Terbuka Singapura 2025 pada Khamis.
Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah mengatasi cabaran Mayu Matsumoto-Yuki Fukushima dalam aksi pusingan kedua di Stadium Tertutup Singapura.
Biarpun berdepan saingan sengit, namun pasangan nombor empat dunia itu tidak mempunyai masalah untuk menempah slot lapan terbaik kejohanan berstatus Super 750 itu.
Pearly-Thinaah menang straight set 25-23, 21-18 untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam empat pertemuan ke atas Matsumoto-Fukushima.
Menanti juara Terbuka Thailand itu di peringkat suku akhir pada Jumaat ialah pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang dijangka mudah mengatasi pasangan India, Treesa Jolly-GP Gayatri dalam satu lagi aksi pusingan kedua.
Malah ia juga menjadi peluang terbaik buat Pearly-Thinaah untuk membalas dendam selepas dikecewakan Yi Fan-Shu Xian dalam pertembungan separuh akhir Malaysia Masters minggu lalu.
Dalam pada itu, juara Asia 2025, Aaron Chia-Soh Wooi turut mengikut jejak sama untuk beraksi di pentas suku akhir.
Bagaimanapun kemaraan pasangan nombor tiga dunia itu bukan diraih dengan mudah apabila dipaksa bekerja keras oleh Takuro Hoki-Yugo Kobayshi sehingga ke set penentuan.
Juara Terbuka Thailand itu menang set pertama 21-18, namun pasangan Jepun itu bangkit mengikat kedudukan 24-26 untuk melanjutkan saingan ke permainan penentuan.
Aaron-Wooi Yik bagaimanapun kembali mengemaskan rentak permainan dan ternyata ia berhasil apabila mereka mengesahkan kemenangan 21-12.
Menanti mereka dalam saingan suku akhir ialah juara Malaysia Masters 2025 yang juga rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menewaskan pasangan China, Huang Di-Liu Yang 21-16, 21-16.
Turut melangkah ialah dua pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai.