Selepas hampir lima bulan beroperasi, model dan usahawan, Zahnita Wilson membuat keputusan menutup kedai pai dan bakerinya yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.
Perkara itu dikongsi Zahnita, 40, menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosialnya semalam, sekali gus mengejutkan ramai peminat dan pelanggan setianya.
Menurut Zahnita, keputusan itu dibuat selepas menyedari dirinya tidak lagi mampu menanggung tekanan menguruskan perniagaan harian sambil berdepan cabaran peribadi yang semakin menjejaskan kesejahteraan mental dan fizikal.
“Saya dah sampai tahap di mana saya tak boleh teruskan lagi. Tenaga saya dah habis. Jadi, saya putuskan untuk tutup kedai dan kembali buat kek dari rumah saja,” katanya dalam nada sebak dengan wajah yang kelihatan letih.
Katanya lagi, perjalanan mengusahakan kedai tersebut sangat mencabar dan penuh pengorbanan.
“Bukan mudah untuk kendalikan semuanya seorang diri. Terlalu banyak perkara berlaku serentak dan ia sangat memenatkan,” ujarnya.
Dalam video sama, Zahnita turut mengucapkan penghargaan kepada semua pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan sejak awal perniagaannya.
“Saya sangat hargai setiap pelanggan yang pernah datang dan menyokong saya. Terima kasih kerana percayakan saya selama ini,” katanya.
Walaupun berat hati, Zahnita yakin keputusan menutup premis itu adalah langkah terbaik buat masa ini demi kebaikan dirinya sendiri.
Perniagaan yang dinamakan Zahnita Humble Pie itu pada awalnya beroperasi dari rumah penghujung tahun lalu sebelum berkembang menjadi kedai fizikal pada 1 Jun lalu berikutan sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Difahamkan, Zahnita memulakan perniagaan itu sebagai sumber pendapatan baharu selepas berdepan kemelut rumah tangga. Tahun lalu, ibu kepada empat anak itu memfailkan penceraian terhadap suaminya, Abd Zackery Ghouse, 47.
Sebelum ini, Zahnita pernah mendedahkan bahawa tekanan rumah tangga yang dialaminya memberi kesan besar terhadap kesihatan mental dan emosinya.