Lima bulan pendam perasaan, lega akhirnya dapat tatap wajah mak – Anak Asmah

Lima bulan pendam perasaan, lega akhirnya dapat tatap wajah mak – Anak Asmah


razis@mediaprima.com.my

Putrajaya: “Ketika melihat wajah mak tadi buat pertama kali setelah lima bulan terpisah, dada saya terus sebak. Lega dan syukur, akhirnya usaha membawa mak pulang ke Malaysia berjaya,” kata Haizan Runsah, 49.

Haizan adalah anak sulung Asmah Mansor, 71, jemaah haji terakhir Malaysia yang berada di Tanah Suci Makkah kerana menghidap pneumonia dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Saudi German.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Asmah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz pada jam 4.30 pagi (waktu tempatan) bersama seorang doktor dan jururawat, serta selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 8.15 malam.

Asmah kemudian dibawa menaiki ambulans terus ke Hospital Putrajaya bagi menerima rawatan lanjut.

Menurut Haizan, sepanjang tempoh ibunya dirawat di Makkah, mereka sekeluarga hanya mampu berdoa agar wanita itu dapat dibawa pulang untuk meneruskan rawatan di Malaysia.

“Lima bulan saya pendam perasaan ini. Tadi apabila dapat tengok mak buat pertama kali, saya tak tahu nak cakap. Alhamdulillah saya lega, adik-adik pun semua gembira.

“Sebelum ini, setiap kali bangun tidur, kami hanya mampu berdoa supaya mak boleh dibawa pulang,” katanya.

Katanya, keluarga mereka tidak menyangka kisah Asmah menjadi tular sehingga mendapat perhatian ramai pihak.

“Kami tak terfikir perkara ini boleh jadi viral dan mendapat perhatian begitu ramai sehingga ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan.

“Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, akhirnya kami dapat menatap wajah mak selepas sekian lama berpisah,” katanya.

Haizan turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu, terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang komited dalam menggerakkan usaha membawa pulang ibunya.

“Terima kasih tidak terhingga juga kepada semua rakyat Malaysia yang begitu prihatin menyumbang sehingga mak saya berjaya dibawa pulang. Tidak lupa kepada pengurusan Tabung Haji (TH) serta pihak Arab Saudi kerana banyak membantu,” katanya.

Menurutnya, selepas ini mereka empat beradik akan bergilir-gilir menjaga ibu mereka sepanjang menerima rawatan di hospital sehingga pulih sepenuhnya.

“Insya-Allah, kami akan buat yang terbaik untuk mak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top