Lima hari hilang di laut, ibu mimpi anak, rakan selamat di 'pulau'

Lima hari hilang di laut, ibu mimpi anak, rakan selamat di 'pulau'



am@hmetro.com.my

Balik Pulau: “Semalam isteri saya bermimpi Hakimi dan Hasrul selamat, kini berada di sebuah pulau. Di situ ada pokok nipah dan pondok kosong.

“Hakimi dan Hasrul nak balik, tapi tangan Hakimi sakit. Ada ‘seseorang’ halang dan tidak benarkan mereka pulang.”

Begitu kata Ismail Ibrahim, 51, mengenai mimpi dialami isterinya, malam tadi selepas anak mereka Muhammad Ikmal Hakimi, 22 dan rakan Nor Hasrul Abdullah, 25, hilang di perairan Kuala Sungai Pinang, di sini, sejak Selasa lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka sekeluarga menganggap mimpi itu sebagai mainan tidur.

“Mungkin isteri terlalu risau dan teringat kepada anak kami, sampai termimpi-mimpi.

“Bukanlah kami anggap sebagai petunjuk, tetapi mungkin ia cuma mainan tidur. Ibu bapa mana yang tidak risau jika kejadian seperti ini menimpa anak mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Ismail, walaupun bersedia dengan sebarang kemungkinan, dia masih berharap supaya kedua-duanya ditemukan dalam keadaan selamat.

“Naluri sebagai bapa, saya rasa mereka masih ‘ada’ (hidup) tetapi jika Allah SWT nak ambil dia dalam keadaan begitu, kami perlu reda.

“Kami tetap akan berusaha cari mereka walaupun operasi pencarian dan penyelamatan itu ditamatkan,” katanya.

Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada agensi penyelamat dan nelayan tempatan termasuk dari Langkawi, Kedah yang membantu dalam operasi pencarian itu.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang Kepten Maritim Razali Kasim berkata, operasi akan diteruskan, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan rayuan Ismail kepada orang ramai untuk mengadakan solat hajat bagi memohon dipermudahkan urusan pencarian kedua-dua mangsa termasuk anaknya juga orang kurang upaya (OKU).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top