SEMUA orang mengimpikan kehidupan yang tenang, bahagia dan penuh keberkatan.
Namun, semua itu tidak datang bergolek dengan sendirinya, tetapi dipengaruhi oleh cara hidup kita sendiri dan insan-insan yang mengelilingi.
Dalam usaha meraih kebahagiaan itu, pelbagai ujian pasti ditempuh. Maklumlah, rambut sama hitam, hati tidak serupa.
Pendakwah, Dr Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Dr Kamilin Jamilin menjelaskan, terdapat doa Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam At-Tabarani dalam kitab Ad-Du’a, dan dihasankan oleh sebahagian ulama.
DR KAMILIN
Doa itu menyentuh tentang lima perkara yang wajar dijauhi kerana menjadi penentu kebahagiaan hidup di dunia.
Berikut perinciannya:
1. Jiran yang menyusahkan
Perkara pertama yang diminta Rasulullah SAW untuk dijauhkan ialah jiran yang tidak baik.
Jelas Dr Kamilin, kedudukan jiran sangat penting kerana mereka adalah kelompok paling dekat dengan kehidupan seharian.

BERDOALAH agar kita dikurniakan tetangga yang baik kerana kedudukan jiran sangat penting memandangkan mereka adalah kelompok paling dekat dengan kehidupan seharian. -Foto: 123RF
“Kalau jiran selalu merungsingkan, kita pun hidup tak tenang,” jelas beliau.
2. Pasangan yang merunsingkan
Nabi Muhammad SAW juga berdoa agar dijauhkan daripada pasangan hidup yang menggelisahkan.
Katanya, pasangan ialah insan paling hampir dalam kehidupan seseorang, maka andai ia menjadi sumber beban, hidup akan terasa sempit.
“Kalau dapat pasangan yang ‘serabutkan’ hidup, maka hidup kita akan sengsara,” katanya.

JANGAN lupa menitipkan doa agar ALLAH SWT memberikan kita pasangan hidup yang menyenangkan. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
3. Anak yang derhaka
Doa seterusnya adalah agar dijauhkan daripada memperoleh anak-anak yang menjadi tuan kepada ibu bapa.
Menurut Dr Kamilin, ia merujuk kepada anak yang derhaka dan menjadikan ibu bapa seperti hamba.
“Ibu bapa mana yang gembira, bahagia kalau ada anak-anak yang tak baik?,” soalnya.
4. Harta yang menjerumuskan ke akhirat
Tambah Dr Kamilin lagi, Rasulullah SAW turut memohon perlindungan daripada harta yang boleh menjadi sebab diazah di akhirat.

JANGAN terleka dan alpa mengejar kekayaan sehingga mengabaikan halal dan haram sumbernya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Ramai manusia alpa mengejar kekayaan sehingga mengabaikan halal dan haram sumbernya.
“Ini penting sebab kita mengumpul harta, tidak sedar dan tidak ingat dunia. Dapatkannya daripada sumber-sumber yang haram dan syubhah.
“Begitu juga membelanjakannya ke arah perkara-perkara yang kita tidak tahu adakah ia mendatangkan kebaikan kepada diri atau tidak. Semua ini akan diaudit di akhirat nanti,” ungkapnya.
5. Teman yang khianat
Akhir sekali, Baginda SAW berdoa memohon dijauhkan daripada sahabat atau rakan yang berpura-pura baik, tetapi menyimpan hasad dan dendam dalam hati.
“Nampak mereka ini rapat dengan kita, tapi mereka ini selalu mengkhianati kita.

MOHONLAH agar kita diberikan teman yang baik dan tidak khianat. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Nampak macam baik dengan kita, senyum dan sengih dengan kita, tetapi hati mereka itu penuh dengan tipu daya ataupun rasa kebencian yang mahu menjatuhkan kita,” katanya.
Tambah beliau, golongan sebegini biasanya menyembunyikan kebaikan yang dilakukan oleh seseorang, namun akan segera menyebarkan kelemahan atau keburukannya.
Oleh itu, Dr Kamilin mengingatkan bahawa doa yang diajar Nabi Muhammad SAW itu menjadi panduan penting agar kita sentiasa memohon perlindungan daripada ALLAH SWT.
“Ini penting dalam kehidupan kita, sama-sama kita amalkan,” titipnya.