am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kenderaan polis membawa lima remaja dikaitkan dengan kes kematian Zara Qairina Mahathir dilihat meninggalkan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, selepas selesai prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak, pagi tadi.
Kenderaan itu diiringi kawalan ketat anggota polis sebaik keluar dari perkarangan mahkamah jam 2.05 petang tadi sebelum bergerak ke lokasi yang tidak didedahkan.
Suasana di luar kompleks mahkamah kekal terkawal dengan pemantauan rapi pasukan keselamatan.
Terdahulu, lima remaja yang dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, pagi tadi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina Mahathir.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad berkata, semua tertuduh dibenar ikat jamin RM5,000 serta seorang penjamin dengan RM1,000 sebagai deposit.
“Tidak ada pengakuan salah, 25 September ini tarikh sebutan semula. Setiap tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan RM1,000 deposit dan seorang pejamin,” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah tadi.
Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima tertuduh mencapai niat bersama dengan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina di sebuah sekolah di Papar pada jam 10 hingga 11 malam, 15 Julai 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd