Najwan Halimi – Foto: Bernama
SELANGOR dijangka memuktamadkan lima sukan tambahan yang bakal dipertandingkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi.
Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan mesyuarat yang diadakan pada 26 Feb lepas yang memutuskan untuk memberi ruang kepada negeri-negeri lain mencadangkan acara yang sesuai bagi penganjuran temasya dwitahunan itu.
“Menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma itu, keputusan masih memberi peluang kepada mana-mana negeri untuk mencadangkan lima lagi acara tambahan.
“Buat masa ini, belum ada sebarang keputusan dibuat, namun saya jangka selewat-lewatnya selepas Aidilfitri kita akan mendapat ketetapan mengenai lima acara berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Belia Selangor 2025 di sini hari ini.
Sebelum ini, Najwan dilaporkan berkata senarai acara sukan yang dipertandingkan pada Sukma 2026 akan dimuktamadkan sepenuhnya pada Ogos depan, yang turut melibatkan penambahan acara sukan lain, termasuk pickleball yang dicadangkan Selangor sebagai tuan rumah.
Sementara itu, Najwan berkata Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal dijadikan venue utama bagi acara pembukaan dengan pihaknya kini masih meninjau lokasi yang sesuai bagi acara penutupan.
“Majlis penutup biasanya tidak melibatkan kehadiran kontinjen seramai majlis pembukaan, jadi kita (kerajaan negeri) sedang mencari venue yang sesuai dengan keperluan semasa.
“Bagi majlis pembukaan, boleh dikatakan 80 peratus keputusan memihak kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tetapi ia tidak melibatkan sebarang aktiviti litar,” katanya.
Dalam pada itu, majlis iftar yang berlangsung di Petals Event Space, Seksyen 7, di sini malam ini, dihadiri lebih 300 belia mewakili Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan watikah Pengerusi Induk Penggerak Belia Selangor kepada seramai 12 individu dari setiap daerah. – Bernama