Lima wakil negara melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Macau Super 300 yang berlangsung di Macau East Asian Games Dome, Cotai pada Jumaat.
Pemain perseorangan lelaki, Justin Hoh membuka langkah cemerlang apabila menewaskan wakil Thailand, Kantaphon Wangcharoen, 21-9, 21-18 untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.
Kejayaan itu menyaksikan pemain muda negara berkenaan bakal berdepan wakil India, Tharun Mannepalli yang sebelum itu menyingkirkan pemain tuan rumah, Hu Zhe’an, 21-12, 13-21, 21-18.
Beregu lelaki negara Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi – Yap Roy King turut mara selepas menundukkan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub – Tan Wee Kiong, 21-12, 21-16.
Mereka akan berdepan satu lagi pasangan negara, Choong Hon Jian – Muhammad Haikal Nazri, yang mencipta kejutan menewaskan pasangan pilihan utama India, Satwiksairaj Rankireddy – Chirag Chandrashekhar Shetty, 21-14, 13-21, 21-20.
Aksi beregu campuran menyaksikan pilihan utama, Chen Tang Jie – Toh Ee Wei, tidak berdepan masalah untuk mara selepas mengatasi pilihan kelapan dari Indonesia, Adnan Maulana – Indah Cahya Sari Jamil, 21-17, 22-20.
Tang Jie – Ee Wei bakal berdepan cabaran pasangan Denmark, Mathias Christiansen – Alexandra Bøje, bagi merebut slot ke final.
Turut mencipta sensasi ialah pasangan beregu campuran senior negara, Jimmy Wong – Lai Pei Jing, apabila mengejutkan pilihan kedua kejohanan dari China, Cheng Xing – Zhang Chi, 21-12, 17-21, 21-18.
Kemenangan itu menyaksikan mereka bakal menentang wakil Indonesia, Amri Syahnawi – Nita Violina Marwah, di separuh akhir.
INFO
Kejohanan Badminton Terbuka Macau Super 300
Separuh Akhir
Justin Hoh lwn Tharun Mannepalli
Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi – Yap Roy King lwn Choong Hon Jian – Muhammad Haikal Nazri
Chen Tang Jie – Toh Ee Wei lwn Mathias Christiansen – Alexandra Boje
Jimmy Wong – Lai Pei Jing lwn Amri Syahnawi – Nita Violina Marwah