am@hmetro.com.my
Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman dua anggota penguatkuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga 19 Januari itu, dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas mendapat permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah, kira-kira jam 2 petang semalam.
Katanya, mereka dipercayai meminta dan menerima suapan itu sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kegiatan penjualan ketum di negeri ini.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar Jun 2023.
“Mereka telah menerima rasuah kira-kira RM6,000 daripada peniaga ketum sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas aktiviti berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
© New Straits Times Press (M) Bhd