sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Impian perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching untuk mencipta sensasi pada penampilan sulung di Terbuka Jerman tidak kesampaian apabila langkahnya terhenti di peringkat suku akhir, sebentar tadi.
Beraksi di Westenergie Sporthalle, pemain berusia 23 tahun itu tetap mempamerkan semangat juang tinggi meskipun berdepan cabaran getir daripada wakil China, Han Qian Xi.
Ling Ching yang menghuni ranking ke-41 dunia bermula sedikit perlahan sebelum cuba memperkemaskan permainan di pertengahan set pertama.
Dia cuba merapatkan jurang mata selepas ketinggalan, namun tetap akur tewas 16-21.
Memasuki set kedua, Qian Xi yang berada di ranking ke-37 dunia tampil lebih agresif dengan variasi pukulan dan kawalan gelanggang yang kemas.
Kedua-dua pemain saling bertukar mata pada awal permainan, namun wakil China itu lebih konsisten dalam perlawanan.
Ling Ching gagal mengekalkan momentum set pertama apabila lawannya terus mendominasi untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-13, sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Walaupun tewas, pencapaian mara ke suku akhir pada penampilan pertama di kejohanan bertaraf Super 300 itu tetap memberi petanda positif terhadap perkembangan kariernya musim ini.
Sebelum ini, Ling Ching turut mencuri tumpuan apabila mara ke separuh akhir Thailand Masters, membuktikan peningkatan konsisten dalam persembahannya di pentas Jelajah Dunia.
Prestasi itu sekali gus memberi suntikan keyakinan buat pemain muda berkenaan untuk terus bersaing dengan kelompok pemain ranking lebih tinggi.
Ling Ching kini akan mengalihkan tumpuan ke Terbuka Switzerland yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 15 Mac ini, juga kejohanan bertaraf Super 300, dalam usaha meneruskan rentak kemajuan serta memburu pencapaian lebih baik di pentas antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd






