Lintasan sehala keluar Gaza umpama usir penduduk Palestin

Lintasan sehala keluar Gaza umpama usir penduduk Palestin


Riyadh: Pengantara Gaza, Mesir dan Qatar serta enam negara majoriti Muslim lain pada Jumaat berkata, mereka bimbang tentang Israel yang menyatakan ia akan membuka lintasan sehala untuk rakyat Palestin keluar dari Gaza.

Menteri luar Mesir, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu “menyatakan kebimbangan mendalam mereka mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Israel mengenai pembukaan lintasan Rafah dalam satu arah dengan tujuan memindahkan penduduk Gaza ke” Mesir, kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Menteri-menteri menyuarakan “penolakan mutlak mereka terhadap sebarang percubaan untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka” dan berkata, mereka menentang “memaksa mana-mana penduduk Gaza untuk pergi.”

Mereka menggesa supaya lintasan itu dibuka di kedua-dua arah selaras dengan pelan damai Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Pada Rabu, Israel berkata, ia akan membuka lintasan Rafah dari Gaza ke Mesir secara eksklusif untuk membolehkan penduduk keluar dari wilayah Palestin “dalam beberapa hari akan datang.”

Tetapi Mesir dengan pantas menafikan bahawa ia bersetuju dengan perjanjian sedemikian, menegaskan bahawa lintasan utama dibuka di kedua-dua arah.

Membuka semula lintasan Rafah adalah sebahagian daripada pelan damai Trump untuk wilayah Palestin, serta sesuatu yang lama digesa oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pihak lain.

Tetapi sejak gencatan senjata Oktober berkuat kuasa, pihak berkuasa Israel menangguhkan perkara itu, memetik kegagalan Hamas untuk memulangkan mayat semua tebusan dan keperluan untuk penyelarasan dengan Mesir.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top