REKRUT baharu Selangor FC (SFC), Willian Lira meluahkan keterujaan untuk menyertai skuad Gergasi Merah bagi mengharungi saingan pentas Asia dan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadual bermula Ogos depan.
Pemain berusia 32 tahun yang berasal Fortaleza, Brazil itu bakal menjadi senjata baharu skuad Gergasi Merah bersama pemain sedia ada dan penyerang baharu, Chrigor Moraes yang diumumkan beberapa hari yang lalu.
“Saya memilih Selangor kerana ia merupakan sebuah kelab yang kuat dan antara yang dihormati ramai. Selain itu, saya merasakan tiada masalah untuk saya menyesuaikan diri dengan cepat kerana saya pernah bermain dalam Liga Malaysia sebelum ini.
“Saya sudah biasa dengan gaya permainan liga, peraturan, dan saya juga mengenali beberapa pemain di sini, akan membantu proses untuk saya menyesuaikan diri dengan cepat,” katanya.
Lira sebelum ini pernah bermain di Liga-M bersama Kedah Darul Amam pada tahun 2023 dan merekodkan lapan jaringan dalam 14 aksi Liga Super.
Bagaimanapun, jodohnya di Alor Setar tidak berpanjangan apabila Lira kemudian menyertai kelab dari Thailand, Chonburi FC pada Julai 2023.
Lira menjadi tunjang utama di bahagian serangan Chonburi apabila beraksi dalam 30 perlawanan dan berjaya meledak 15 gol dan tiga bantuan jaringan selama lebih setahun bersama kelab itu.
Beliau kemudian bersama Hatta Club yang berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sebelum kembali ke Malaysia dan memilih menyarung jersi SFC untuk saingan musim 2025/26.
Lira yang pernah beraksi bersama Ventforet Kofu di Jepun pada musim 2021-2022 turut berkongsi sasaran peribadi untuk musim pertamanya di Selangor.
“Matlamat saya adalah untuk membantu pasukan bersaing merebut kejuaraan dan sudah tentu untuk menjaringkan gol sebanyak yang mungkin. Saya pernah melakukannya bersama kelab lain sebelum ini, tetapi kali ini saya mahu melakukannya untuk Selangor.
“Setiap hari saya akan memberikan yang terbaik untuk menyumbang kepada pasukan, sama ada di dalam atau di luar padang,” katanya.
Selain aksi domestik, skuad bimbingan Katsuhito Kinoshi akan bersaing di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab ASEAN bagi musim 2025/26.