am@hmetro.com.my
Setiu: “Saya rasa tidak sedap hati dan tergerak minta adik (Nur Azwa Shamimi, 21) berkongsi ‘live location’ sebelum mereka bergerak pulang,” kata ahli keluarga mangsa kemalangan, Ahmad Kamarul Shafieq Kamarudin, 28.
Ahmad Kamarul Shafieq berkata, sebelum ini, dia tidak berbuat demikian namun keadaan hujan menyebabkan dia tergerak meminta adiknya berkongsi ‘live location’ selain berpesan kepada kakaknya, Nur Ardiena, 30, supaya berhenti jika mengantuk.
“Selalunya apabila mereka datang ke Negeri Sembilan, saya tidak pernah minta kongsi ‘live location’ tapi semalam saya minta.
“Saya memang tak dapat tidur lena malam tadi dan beberapa kali terjaga kerana batuk dan kali pertama tersedar jam 3 pagi, saya tengok kereta masih bergerak kemudian saya sambung tidur.
“Apabila saya terjaga kira-kira jam 5 pagi, saya tengok kereta sudah sampai Terengganu dan ada hantar mesej menerusi WhatsApp namun tiada balasan.
“Ketika terjaga jam 6 pagi, saya tengok kereta masih tidak bergerak sebelum saya segera hubungi mereka tetapi tiada jawapan dan saya sekali menelefon ayah sebelum seorang doktor memaklumkan nahas kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Setiu, hari ini.
Dalam kejadian itu, pemandu Perodua Axia, Nur Ardiena yang juga anak kedua daripada lima beradik terkorban bersama ibu dan bapa, Maimumah Mat Isa, 54, dan Kamarudin Ibrahim, 55, manakala Nur Azwa Shamimi parah paha kanan.
Ahmad Kamarul Shafieq berkata, dia kemudian menghubungi ahli keluarga yang lain bagi memaklumkan kejadian itu sebelum bergerak ke Terengganu dari Negeri Sembilan kira-kira jam 7 pagi tadi.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, ibu bapa, kakak dan adiknya bergerak ke Negeri Sembilan dari Kelantan pada malam Khamis.
“Kakak tinggalkan kereta di rumah saya (Negeri Sembilan) sebelum kami ke Kuala Lumpur menggunakan kereta saya untuk bermalam di rumah abang sulung selama dua malam bagi menghadiri majlis konvokesyen adik.
“Selepas menghadiri konvokesyen adik, kami pulang ke Negeri Sembilan sebelum mereka bertolak balik kira-kira jam 10.30 malam tadi,” katanya
Katanya, kakaknya sudah bertunang tahun lalu dan kad jemputan kahwin sudah diedarkan untuk majlis perkahwinan pada 20 Disember ini.
“Kami sekeluarga sudah memilih tema hijau untuk majlis berkenaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd