Liverpool dilaporkan telah menyertai pesaing Liga Perdana Inggeris, Arsenal dalam usaha mendapatkan pemain sayap Real Madrid, Rodrygo, menurut laporan media Sepanyol.
Pemain antarabangsa Brazil itu kini hangat dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Santiago Bernabéu pada jendela perpindahan musim panas ini.
Rodrygo merupakan tonggak penting buat Real Madrid sejak lima musim lalu, mencatat 270 penampilan bersama Los Blancos serta membantu kelab itu merangkul tiga kejuaraan La Liga dan dua trofi Liga Juara-Juara.
Namun, walaupun mempunyai pengaruh besar di Madrid, hubungan Rodrygo bersama kelab didakwa semakin renggang sejak musim lalu, sekali gus menguatkan spekulasi perpindahannya.
Kehadiran Xabi Alonso sebagai pengendali baharu Madrid pada awalnya dilihat mampu mengekalkan Rodrygo, namun pemain itu sekadar memanaskan bangku simpanan dalam lima daripada enam perlawanan di Piala Dunia Kelab.
Arsenal sebelum ini dilaporkan telah mengadakan perbincangan awal untuk mendapatkan khidmat Rodrygo dan berkemungkinan besar akan menghidupkan semula minat mereka.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta menyambut kehadiran Noni Madueke dari Chelsea, namun pemain England itu lebih gemar bermain di posisi sayap kanan.
Pemain sayap kiri Arsenal, Gabriel Martinelli pula turut dikaitkan dengan perpindahan musim panas ini selepas Bayern Munich dilaporkan berminat mendapatkan rakan senegaranya, Rodrygo.
Arsenal tidak bercadang untuk menjual Martinelli, tetapi sekiranya perpindahan itu berlaku, mereka mungkin akan membuat bidaan besar untuk Rodrygo yang dianggap antara pemain sayap terbaik dunia ketika ini.
Menurut akhbar AS, Liverpool turut menyatakan minat mendapatkan Rodrygo dalam usaha menambah kekuatan serangan di bawah kendalian Arne Slot.
Kelab itu telah mendapatkan pemain tengah Jerman, Florian Wirtz, dan masih terbuka untuk membawa masuk penyerang baharu ke Anfield, khususnya jika Luis Díaz meninggalkan pasukan.
Barcelona dilaporkan menjadikan Díaz sebagai salah satu sasaran utama mereka musim panas ini, selain Marcus Rashford (Manchester United) dan Nico Williams (Athletic Bilbao).
Sementara itu, Real Madrid dikatakan bersedia menerima tawaran untuk Rodrygo tetapi meletakkan harga sekitar 100 juta euro (RM494 juta) untuk pemain itu.