ARNE Slot menyifatkan Liverpool tidak berdepan masalah prestasi sebaliknya semakin kuat ketika bangkit menjinakkan Tottenham Hotspur untuk mara ke perlawanan akhir Piala Liga.
Malah, pengendali The Reds itu menegaskan terdapat dua faktor yang membolehkan kelab Merseyside tersebut tampil lebih kuat serta konsisten pada musim ini.
“Pertama sekali, jika anda bermain lebih kerap bersama, anda lebih tahu apa yang diharapkan. Jadi pada kali pertama saya memberitahu mereka bagaimana untuk membawa bola keluar dari belakang menentang tekanan 7-9-11, mereka mungkin seperti: ‘Ok.’ Tetapi semakin banyak kali anda menghadapi mereka, semakin ia menjadi semula jadi untuk anda.
“Lebih banyak permainan yang anda mainkan, lebih banyak pertemuan pasukan yang anda ada, lebih banyak sesi latihan yang anda ada, lebih baik mereka tahu apa yang kami harapkan daripada mereka dan apa yang diharapkan daripada satu sama lain.
“Kedua, saya percaya bahawa semakin banyak permainan yang anda mainkan, semakin kuat fizikal anda. Sesetengah orang menganggap anda penat tetapi selagi anda menguruskannya dengan baik, pemain akan menjadi lebih kuat dengan bermain banyak permainan dan bukannya penat.
“Kami menunjukkan mentaliti kami dari detik pertama hingga detik terakhir,” kata bekas pengendali kelab Liga Eredivisie Belanda, Feyenoord Rotterdam itu.
Liverpool yang tampil dengan status penyandang juara menempah tiket perlawanan akhir ke Wembley selepas menewaskan Tottenham Hotspur dengan agregat 4-1 dalam aksi separuh akhir kedua Piala Liga di Stadium Anfield.
Liverpool kendalian Arne Slot yang melayan Tottenham bimbingan Ange Postecoglou yang berbekalkan kemenangan 1-0 terlebih dulu mematikan kelebihan pelawat dengan gol Cody Gakpo minit ke-34.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu kemudian meningkatkan tekan apabila Mohamed Salah menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Spurs, Antonin Kinsky pada minit ke-51.
Dua gol Reds lagi dijelmakan Dominik Szoboszlai minit ke-75 sebelum tandukan Virgil van Dijk minit ke-90 melengkapkan kemenangan 4-0 bergaya Liverpool,
Kemenangan itu membolehkan Liverpool berdepan Newcastle United bimbingan Eddie Howe dalam perlawanan akhir di Stadium Wembley yang dijadualkan pada 16 Mac.