London: Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal akan berkunjung ke gelanggang Chelsea pada Isnin dengan misi mengukuhkan cengkaman di puncak, namun beberapa jam sebelum itu tumpuan di London bakal terarah kepada juara bertahan, Liverpool yang sedang bergelut mencari jalan keluar daripada rentetan keputusan buruk.
Liverpool berkunjung ke West Ham United selepas dua kekalahan besar berturut-turut di Anfield, tewas kepada Nottingham Forest dalam liga dan dibelasah PSV Eindhoven dalam Liga Juara-Juara (UCL), yang kini menjadi rekod terburuk mereka dalam 71 tahun.
Selepas membuka musim dengan tujuh kemenangan berturut-turut hasil perbelanjaan besar pada musim panas, tidak terfikir bahawa hanya beberapa bulan kemudian pengurus Arne Slot bakal berada di bawah tekanan hebat, malah ada yang mula mempersoalkan masa depannya.
Realitinya, Liverpool tewas sembilan daripada 12 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan lebih hampir kepada zon penyingkiran berbanding pendahulu, Arsenal.
Menjelang sepak mula di West Ham, kedudukan mereka boleh jatuh sehingga tempat ke-14.
Antara faktor kejatuhan mendadak Liverpool termasuk kesan psikologi selepas kematian penyerang Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya pada musim panas lalu.
Perbelanjaan rekod Britain sekitar £445 juta (RM2.4 bilion) bagi membawa masuk pemain baharu membina era dominasi ala Manchester City juga setakat ini gagal membuahkan hasil, dengan nama-nama seperti Florian Wirtz, Alexander Isak dan Milos Kerkez bergelut mempamerkan impak.
Bintang utama Mohamed Salah serta kapten Virgil van Dijk — tunjang kejayaan musim lalu, turut dipalit kritikan selepas kekalahan 1-4 kepada PSV pada Rabu.
“Sekarang beliau (Slot) ada keputusan besar. Kau nak kena pecat bersama Salah, atau kekalkan jawatan tanpa dia?” kata bekas pemain Liverpool dan pemenang Liga Juara-Juara, Dietmar Hamann kepada RTE Sport.
Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher pula menegaskan pengurusan Anfield tidak akan memecat pengendali yang membawa pasukan menjulang liga pada musim pertama dan mendapat sokongan penuh kelab.
“Saya tak percaya bila orang mula bincang pasal masa depan pengurus selepas kalah kepada Forest. Sekarang isu itu akan semakin besar,” katanya.
Carragher juga berkata Liverpool tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada Salah, Van Dijk atau penjaga gol Alisson.
“Ini mungkin gambaran masa depan bila Salah, Van Dijk dan Alisson tiada nanti. Mereka legenda, tapi kaki sudah tak sama macam dulu, terutama Salah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





