Liverpool, EPL rugi jika hilang Salah

Liverpool, EPL rugi jika hilang Salah


LEGENDA England, Alan Shearer hairan apabila Liverpool masih belum mengambil langkah konkrit untuk memastikan Mohamed Salah terus kekal di Anfield.

Menurut Shearer, Salah merupakan tonggak utama di sebalik kejayaan The Reds mendominasi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan kelebihan 13 mata di puncak liga walaupun tanpa pembelian besar pada jendela perpindahan musim panas lalu.

“Saya pernah katakan sebelum ini bahawa kita perlu melihat sama ada tahap permainannya menurun walaupun sedikit kerana isu kontraknya, tetapi perkara itu tidak berlaku. Sebaliknya, dia semakin baik dan semakin kuat seiring dengan perjalanan musim ini.

“Sehingga kini masih tiada perkembangan mengenai kontraknya, tetapi saya akan sangat terkejut jika Liverpool tidak berusaha untuk mengekalkannya sekurang-kurangnya satu atau dua tahun lagi,” katanya.

Salah, yang kini mendahului carta penjaring terbanyak dengan 25 gol, menjadi faktor utama Liverpool berada di landasan tepat untuk meraih kejuaraan liga kedua dalam tempoh lima tahun. Malah, prestasi cemerlang pemain Mesir itu turut mencetuskan perbincangan bahawa dia layak dicalonkan bagi anugerah Ballon d’Or.

Shearer turut menegaskan bahawa kehilangan Salah bukan sahaja satu tamparan buat Liverpool, malah EPL secara keseluruhannya kerana statusnya sebagai salah seorang pemain paling berpengaruh dalam liga tersebut.

“Segala yang dilakukannya sekarang sama ada berakhir dengan jaringan atau bantuan gol. Dalam perlawanan menentang Newcastle, Lewis Hall memberikan cabaran sengit kepadanya, tetapi Salah tetap menunjukkan kualiti yang luar biasa.

“Dia adalah ikon Liga Perdana Inggeris, tidak syak lagi tentang itu,” katanya.

Dalam pada itu, Shearer turut melahirkan rasa kagum terhadap pencapaian Liverpool musim ini kerana mampu beraksi cemerlang tanpa banyak perubahan dalam skuad.

“Apa yang paling mengagumkan saya mengenai Liverpool musim ini, mereka tidak membuat sebarang pembelian besar selain membeli Federico Chiesa, sesuatu yang sangat luar biasa.

“Selain penyokong Liverpool dan mungkin Arne Slot sendiri, saya tidak pasti sesiapa menyangka pasukan ini mampu bermain sebaik ini. Liverpool sangat kukuh di setiap posisi,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top