PENGENDALI Liverpool, Arne Slot mengakui pasukannya kini sudah kehilangan aura selepas sekadar terikat 1-1 menentang Sunderland di Anfield pada Khamis.
Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu tersentak apabila ketinggalan menerusi jaringan babak kedua Chemsdine Talbi, namun percubaan Florian Wirtz yang terbias pada Nordi Mukiele berjaya menyelamatkan maruah The Reds di laman sendiri.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool kini gagal mencatat sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir di Anfield bagi semua kejohanan, susulan kekalahan mengejut kepada Nottingham Forest dan PSV Eindhoven sebelum ini.
Apabila ditanya sama ada stadium keramat itu sudah kehilangan faktor yang menakutkan pihak lawan, Slot memberikan pandangan yang jujur.
“Bukan Anfield (yang hilang aura), tetapi jelas sekali pasukan yang menentang kami sekarang berfikir bahawa mereka boleh mendapatkan keputusan positif.
“Bukan sekadar berfikir, malah ia telah terbukti musim ini. Malah dalam perlawanan yang kami menangi sekalipun, kami bagaikan memberi keyakinan kepada pasukan lawan bahawa ada sesuatu yang boleh dilakukan kerana kemenangan awal musim kami juga bukanlah mudah,” katanya.
Dalam aksi tersebut, Slot memilih untuk merehatkan bintang utama, Mohamed Salah di bangku simpanan buat perlawanan kedua berturut-turut, sebelum membawa masuk pemain antarabangsa Mesir itu menggantikan Cody Gakpo selepas waktu rehat.
Mengulas mengenai keputusan taktikal tersebut, Slot menjelaskan bahawa Gakpo kelihatan tumpul di bahagian depan.
“Pada pandangan saya, Cody bergelut untuk mendominasi situasi satu lawan satu. Jika anda mahu peluang menjaringkan gol ketika lawan menekan tinggi, anda perlukan detik magis atau situasi bola mati, dan Cody sukar menemui detik itu.
“Pada babak pertama kami meletakkan Dominik Szoboszlai di kanan, kemudian saya menukar Mo (Salah) ke kanan dan Wirtz di kiri. Kami sukar ditembusi, namun amat sukar untuk mencipta magis tersebut,” ujarnya.
Ringkasan AI
- PENGENDALI Liverpool, Arne Slot mengakui pasukannya sudah kehilangan aura selepas seri dengan Sunderland
- Liverpool gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir di Anfield
- Slot menyatakan pihak lawan kini yakin mereka boleh mendapatkan keputusan positif menentang Liverpool
- Mohamed Salah disimpan di bangku simpanan pada permulaan permainan sebelum menggantikan Cody Gakpo
- Slot mengkritik prestasi Gakpo dan mengubah susunan pemain dalam usaha mencari gol






