London: Liverpool akan kehilangan sekurang-kurangnya empat pemain untuk pertemuan menentang PSG pada awal pagi Khamis ini.
Walaupun tidak bermain hujung minggu ini, senarai kecederaan Reds dijangka terus bertambah menjelang kembalinya mereka beraksi.
Joe Gomez dan Tyler Morton kedua-duanya tidak dapat bermain dalam jangka masa panjang selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan hamstring dan bahu masing-masing.
Conor Bradley juga diketepikan untuk beberapa minggu selepas mengalami kecederaan hamstring bulan lalu ketika menentang Aston Villa.
Selain itu, Liverpool turut kehilangan Amara Nallo untuk perlawanan pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) akibat penggantungan yang diterima semasa debutnya menentang PSV Eindhoven pada Januari.
Reds juga berdepan masalah disiplin ketika mereka berusaha untuk mara dalam saingan UCL, dengan empat pemain berisiko digantung untuk aksi pusingan kedua di Anfield.
Ibrahima Konate, Andy Robertson dan Harvey Elliott semuanya menerima dua kad kuning dalam UCL tahun ini dan satu kad kuning lagi akan menyebabkan mereka digantung satu perlawanan.
Alexis Mac Allister, yang sudah menjalani penggantungan satu perlawanan dalam fasa liga, juga berisiko digantung tambahan.
Pemain antarabangsa Argentina itu menerima kad kuning empat kali setakat ini dalam pertandingan musim ini, lapor Liverpool Echo.
Pemain akan digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning yang tidak menyebabkan kad merah dan dengan kad kuning yang tidak tamat tempoh sehingga penamat pusingan suku akhir, pemain-pemain ini mempunyai empat perlawanan untuk bertahan, jika mereka mahu mengelakkan penggantungan.
Sementara itu, Virgil van Dijk, Ryan Gravenberch, Luis Diaz, Kostas Tsimikas dan Darwin Nunez semuanya menerima satu kad kuning dalam UCL musim ini, jadi mereka akan digantung jika menerima kad kuning kedua sebelum pusingan suku akhir tamat.
Walaupun beberapa pemain Liverpool berada dalam situasi ‘bahaya’, Reds pastinya merasa lega apabila menyambut Slot dan pembantu jurulatih Sipke Hulshoff kembali ke tempat duduk pengurus di Paris.
© New Straits Times Press (M) Bhd