05 November 2025 07:13am
Masa membaca: 4 minit

Mac Allister (kanan) muncul wira Liverpool selepas menanduk gol kemenangan The Reds. – Foto: Agensi
LIVERPOOL meraih kemenangan 1-0 hasil tandukan Alexis Mac Allister pada separuh masa kedua ke atas Real Madrid dalam aksi penuh sengit Liga Juara-Juara (UCL) di Anfield, awal pagi Rabu.
Ia adalah kekalahan pertama pendahulu La Liga itu dalam kempen UCL musim ini.
Skuad kendalian Arne Slot naik ke tangga keenam kumpulan dengan sembilan mata selepas empat perlawanan peringkat liga; satu tangga di bawah Real yang turut mengumpul jumlah mata sama tetapi berada di depan menerusi kelebihan perbezaan jaringan.
Liverpool yang baru tiga hari lalu berjaya menghentikan rentetan kekalahan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), tampil agresif sejurus permainan bermula dan kerap menguji penjaga gol Real, Thibaut Courtois, sebelum Mac Allister menamatkan kebuntuan pada minit ke-61.
Dominik Szoboszlai yang cemerlang sepanjang perlawanan, melambungkan sepakan percuma tepat ke arah kawasan berbahaya dan pemain Argentina itu melonjak paling tinggi untuk menanduk masuk bola, mencetuskan sorakan gemuruh di Anfield.
Liverpool juga sempat meraikan seketika apabila menyangka mereka memperoleh sepakan penalti pada babak pertama selepas sepakan Szoboszlai terkena lengan Aurelien Tchouameni.
Namun, pengadil membatalkan keputusan itu selepas semakan video bantuan pengadila (VAR) dan memutuskan tiada insiden bola terkena tangan berlaku.
Kemenangan itu menjadi tonik buat Liverpool yang akan berdepan Manchester United di Stadium Etihad bagi aksi EPL pada Isnin depan.
Ringkasan AI
- Liverpool meraih kemenangan 1-0 ke atas Real Madrid dengan gol dari Alexis Mac Allister
- Ini adalah kekalahan pertama Real Madrid dalam UCL musim ini
- Liverpool naik ke tangga keenam kumpulan dengan sembilan mata
- Gol dicetak melalui tandukan Mac Allister pada minit ke-61
- Keputusan penalti untuk Liverpool dibatalkan oleh VAR






