KELAB sensasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool memulakan era Arne Slot dengan kemenangan 2-0 ke atas Ipswich Town dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Portman Road.
Perlawanan kompetitif pertama The Reds tanpa kelibat Jurgen Klopp dalam tempoh sembilan tahun juga menyaksikan penampilan komponen utama Mohamed Salah yang mengesahkan mata pada penampilan ke-350 untuk kelab itu dalam semua kejuaraan.
Bagaimanapun pasukan pelawat terpaksa menunggu separuh masa kedua untuk menjinakkan The Tractors Boys kendalian Kieran McKenna bermula dengan jaringan Diogo Jota minit ke-60 sebelum Salah memastikan tiga mata pertama musim ini lima minit kemudian.
Jaringan jarak dekat pemain Mesir berusia 32 tahun itu hasil sentuhan Dominik Szoboszlai, adalah gol kesembilannya pada pembukaan musim liga mendapat reaksi positif pengendali kelahiran Belanda berusia 45 tahun tersebut.
“Jika melihat kepada apa yang dia lakukan untuk mengekalkan prestasi seperti sedia ada dan bersedia bermain setiap perlawanan, saya percaya dia masih boleh bermain banyak lagi pada masa depan
“Tetapi jika anda okay dengannya, saya melihat sekarang di Brentford dan bukan pada penghujung musim,” kata Slot mengenai penyerang sensasi Liverpool tersebut.
Sebagai rekod, Liverpool akan menerima kunjungan Brentford kendalian Thomas Frank di Stadium Anfield pada 25 Ogos depan.
Sementara itu, McKenna yang mengemudi Ipswich bermain perlawanan pertama di kejuaraan teratas sejak 2002 keluar dari Liga Kejuaraan musim lalu bangga dengan prestasi dipamerkan pemain-pemainnya.
“Saya percaya terdapat banyak perkara positif yang boleh kami bina untuk musim ini.
“Sudah tentu kebanyakan perkara positif itu adalah pada separuh masa pertama,” katanya.
OR