LEGENDA Liverpool, John Barnes tampil mempertahankan pengendali yang kini dalam tekanan, Arne Slot sambil menggesa kelab itu supaya tidak terpengaruh dengan desakan untuk melantik bekas pengurus Real Madrid, Xabi Alonso.
Meskipun Anfield kini sedang berdepan krisis prestasi, bekas pemain antarabangsa England itu percaya pengendali kelahiran Belanda tersebut berhak diberikan lebih masa untuk memulihkan keadaan pasukan.
Ketika ini, tekanan terhadap Slot semakin memuncak susulan rentetan keputusan hambar, manakala bayangan Alonso terus menghantui Anfield memandangkan bekas pemain tengah The Reds itu kini tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas meninggalkan Real Madrid.
Bagaimanapun, Barnes mempersoalkan sama ada pengendali dari Sepanyol itu benar-benar individu yang tepat untuk menggalas tugas berkenaan sambil merujuk kepada tempoh perkhidmatannya di Bernabeu.
“Saya faham mengapa ramai yang mahukan Xabi kerana beliau adalah kegemaran penyokong Liverpool. Tetapi bukankah beliau gagal di Real Madrid? Adakah beliau benar-benar pengurus yang berjaya?
“Jangan salah faham, saya fikir Xabi hebat dan melakukan tugas dengan baik. Namun, beliau dipecat oleh Real Madrid kerana kegagalan, bukan? Itulah sebab mereka melepaskannya.
“Sudah tentu kita suka mahukan bekas pemain (mengendali pasukan). Nama Steven Gerrard juga pernah disebut sebelum ini. Saya faham sikap peminat, tetapi peminat selalunya mudah berubah hati (fickle),” katanya.
Barnes berpendapat bahawa tindakan menggantikan Slot dengan Alonso hanya akan mewujudkan kitaran ketidakstabilan di dalam kelab.
Tegasnya, kejayaan Slot menjulang trofi Liga Perdana Inggeris pada musim sulungnya seharusnya memberi beliau lebih banyak ‘kredit’ berbanding kritikan yang diterima daripada penyokong ketika ini.
“Kita memenangi liga bersama Arne Slot dan tiba-tiba kita mahu memecatnya?
“Jika beliau pergi dan Alonso datang, katakanlah Alonso pula gagal dalam tempoh enam bulan atau setahun pertama, adakah kita akan berkata ‘pecat beliau’ dan bawa orang lain pula?
“Saya sentiasa menyokong pengurus, sesiapa pun mereka, kerana mereka datang ke kelab disebabkan kejayaan dan kredibiliti mereka. Mereka harus diberi masa. Jurgen Klopp pernah ketinggalan 20 mata di belakang pendahulu ketika mula-mula tiba, tetapi kita tetap bersamanya,” tambah Barnes.
Desakan untuk perubahan drastik di Anfield mencapai kemuncaknya selepas kekalahan memalukan 0-4 di tangan Manchester City dalam aksi Piala FA baru-baru ini.
Secara statistik, Liverpool sedang mengharungi antara musim terburuk dalam sejarah moden mereka dengan merekodkan 15 kekalahan dalam semua kejohanan.
Namun bagi Barnes, punca utama kemerosotan itu bukanlah taktikal pengurus, sebaliknya proses transisi skuad yang besar.
“Kita menandatangani ramai pemain. Secara individu, mereka semua pemain yang bagus. Kita cuma sedang cuba mencari adunan dan cara permainan yang betul.
“Apabila anda membawa masuk lima atau enam pemain baharu ke dalam kesebelasan utama, ia memerlukan masa. Kita boleh lihat apabila pasukan bermain dengan baik, kita benar-benar hebat. Kita cuma perlu mendapatkan konsistensi,” jelasnya lagi.





