London: Liverpool sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan tawaran bernilai £100 juta (RM576.7 juta) bagi mendapatkan bintang Newcastle, Anthony Gordon.
Perbincangan sudah diadakan musim panas lalu mengenai perpindahan ke Anfield ketika Newcastle sedang berusaha mendapatkan dana bagi mematuhi peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Namun, pasukan kendalian Eddie Howe kini berada dalam kedudukan kewangan yang lebih stabil, tetapi mungkin terpaksa berdepan sekali lagi dengan minat daripada pasukan dari Merseyside terhadap pemain sayap kelahiran Liverpool itu.
Gordon, yang juga peminat Liverpool sejak kecil, berhijrah ke St James’ Park dari Everton dengan nilai £45 juta (RM259.5 juta) pada Januari 2024.
Dia juga sudah menandatangani kontrak baharu pada Oktober lalu, serta menjaringkan enam gol dan mencatat lima bantuan jaringan dalam saingan EPL musim lalu.
Namun, The Reds bertekad untuk berbelanja besar musim panas ini bagi mengukuhkan skuad juara kendalian Arne Slot apabila sudah membawa masuk pemain pertahanan kanan dari Belanda, Jeremie Frimpong dari Bayer Leverkusen dengan nilai £29.5 juta (RM170.1 juta).
Bekas rakan sepasukan Frimpong di Bayer, Florian Wirtz, dijangka menjadi pembelian seterusnya menerusi perpindahan rekod British bernilai £116 juta (RM668.9 juta), manakala pemain pertahanan kiri Milos Kerkez juga dijangka tiba dari Bournemouth dengan harga £40 juta (RM230.6 juta).
SunSport sebelum ini mendedahkan secara eksklusif bahawa Liverpool berminat terhadap pemain Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola.
Namun, juara Eropah itu tidak mahu melepaskan pemain Perancis berkenaan.
Situasi itu mungkin mendorong Liverpool untuk berusaha semula mendapatkan Gordon, 24, yang juga produk akademi Everton.
Perkembangan ini hadir di tengah ketidaktentuan masa depan penyerang The Reds, Luis Diaz.
Pemain Colombia itu menyatakan dia gembira berada di Anfield, namun tidak menolak kemungkinan untuk meneroka peluang lain musim panas ini, termasuk minat dari kelab gergasi LaLiga, Barcelona.
© New Straits Times Press (M) Bhd