Liverpool sedia tawar RM574 juta sambar Rodrygo

Liverpool sedia tawar RM574 juta sambar Rodrygo


Rodrygo (kanan) menjadi buruan banyak kelab gergasi Eropah. FOTO: AFP

LIVERPOOL dilaporkan sedang merancang tawaran lumayan bernilai €120 juta (RM574 juta) untuk mendapatkan penyerang Real Madrid, Rodrygo, sebagai pengganti Mohamed Salah sekiranya bintang Mesir itu tidak memperbaharui kontraknya.

Menurut laporan media antarabangsa, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bersedia melakukan pelaburan besar demi mendapatkan pemain Brazil itu, yang kini menjadi sasaran utama mereka.

Walaupun Real Madrid sudah mempunyai Kylian Mbappe, Rodrygo masih dianggap sebagai tonggak utama dalam skuad kendalian Carlo Ancelotti.

Penyerang berusia 23 tahun itu yang mempunyai kontrak sehingga Jun 2028 telah membuktikan keupayaannya dalam perlawanan penting dan menjadi aset utama di bahagian serangan Madrid.

Liverpool percaya jika Salah meninggalkan kelab, mereka memerlukan pengganti bertaraf dunia, dan Rodrygo dilihat sebagai calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan itu.

Walaupun tawaran €120 (RM574 juta) juta adalah jumlah yang besar, Real Madrid tidak berhasrat untuk melepaskan Rodrygo.

Presiden kelab, Florentino Perez, serta barisan pengurusan melihat pemain itu sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang mereka.

Satu-satunya cara untuk mendapatkan Rodrygo adalah dengan membayar klausa pelepasannya, yang dikatakan hampir mustahil untuk mana-mana kelab sanggup menanggung.

Bukan hanya Liverpool yang berminat, Manchester City dan Chelsea turut memantau perkembangan Rodrygo.

Namun, pemain Brazil itu kekal fokus bersama Real Madrid dengan impian untuk terus memenangi trofi dan mengukuhkan statusnya sebagai salah seorang bintang dunia.

Ketika ini, segala usaha untuk mendapatkan Rodrygo dijangka menemui jalan buntu, memandangkan pemain itu tidak berminat untuk meninggalkan Santiago Bernabeu.

Bagaimanapun, Liverpool dikatakan tetap akan mencuba untuk menguji pendirian Madrid.

Dengan situasi masa depan Salah di Anfield masih menjadi tanda tanya, pengurus baharu, Arne Slot, mahu memastikan pasukan memiliki pengganti yang setaraf di bahagian serangan.



Source link

OR

Scroll to Top