Liverpool semakin hampir hilang tiga pemain utama

Liverpool semakin hampir hilang tiga pemain utama


KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool berdepan tugas sukar menggantikan tiga bintang utama mereka, Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold di sebalik kebimbangan ketiga-tiga pemain ini bakal meninggalkan Anfield pada musim panas ini.

The Reds baru sahaja melalui minggu yang mengecewakan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG) menerusi penentuan sepakan penalti, selain turut terlepas gelaran Piala Liga kepada Newcastle United di Stadium Wembley.

Walaupun pasukan bimbingan Arne Slot masih berada di kedudukan teratas liga dengan kelebihan 12 mata, kelemahan dalam skuad mereka semakin ketara menjelang penghujung musim.

Slot pada awalnya merancang untuk memperkukuh pasukan dalam beberapa posisi utama termasuk pertahanan kiri, pemain tengah bertahan dan penyerang namun situasi kontrak Salah, van Dijk dan Alexander-Arnold kini menjadi isu yang lebih mendesak.

Ketiga-tiga pemain ini masih belum menandatangani kontrak baharu dan berpotensi meninggalkan kelab secara percuma sebaik sahaja kontrak mereka tamat.

Bekas penyerang Liverpool, Robbie Fowler menyelar pengurusan kelab kerana membiarkan situasi ini berlarutan tanpa penyelesaian.

“Secara jujur, saya tidak fikir kesemua mereka akan kekal. Siapa yang akan pergi? Saya tidak dapat pastikan. Tetapi sebagai peminat Liverpool, saya mahu kelab ini terus berjaya dengan pemain terbaik.

“Trent, Van Dijk dan Salah merupakan tiga pemain yang sangat penting. Saya tahu Salah tidak beraksi cemerlang menentang Newcastle, mereka merindui kehadiran Trent, dan hanya van Dijk yang tampil dengan persembahan baik semasa perlawanan,” katanya.

Fowler juga menyifatkan kelab bertindak kurang bijak kerana membiarkan tiga pemain bintang itu memasuki fasa akhir kontrak mereka tanpa jaminan masa depan.

Namun, Fowler tetap optimis bahawa Liverpool mempunyai perancangan jangka panjang yang kukuh demi memastikan kesinambungan gergasi England tersebut.

“Memang bukan mudah mencari pengganti mereka. Tetapi kita juga pernah beranggapan bahawa sukar menggantikan Jurgen Klopp. Lihatlah bagaimana Arne Slot mengendalikan pasukan dan kita tidak begitu merasai kehilangan Klopp,” ujarnya.

Menurutnya, sejarah telah membuktikan bahawa Liverpool sering berjaya dalam peralihan pemain, dan tiada individu yang lebih besar daripada kelab itu sendiri.

Walaupun kebimbangan semakin memuncak, laporan terbaru menyebut bahawa Liverpool masih yakin van Dijk akan kekal, sementara rundingan dengan Alexander-Arnold dan Salah masih berjalan.



Source link

OR

Scroll to Top