Liverpool 'tak goyang' buru kejuaraan liga

Liverpool 'tak goyang' buru kejuaraan liga


London: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk menegaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mampu mengendalikan tekanan yang semakin meningkat dalam perebutan kejuaraan.

Skuad kendalian Arne Slot kini berada tujuh mata di hadapan Arsenal di tangga kedua selepas mengharungi babak kedua yang kurang meyakinkan sebelum menewaskan Wolves 2-1, semalam.

Selepas melepaskan gol penyamaan pada masa kecederaan ketika bertemu Everton, kegelisahan jelas dirasai di Anfield apabila Liverpool berusaha mempertahankan kelebihan mereka di penghujung perlawanan menentang Wolves.

Van Dijk memahami kebimbangan dalam kalangan penyokong dan pemain pertahanan tengah dari Belanda itu menjangkakan lebih banyak drama akan berlaku ketika Liverpool semakin hampir untuk menyamai rekod kejuaraan liga ke-20.

“Kita semua manusia dan saya benar-benar faham perasaan cemas atau gementar boleh muncul.

“Saya sudah katakan beberapa minggu lalu, kami hanya perlu bersedia dan menikmati cabaran ini. Akan ada banyak kejutan dan perubahan.

“Jika anda tidak bersedia untuknya, beberapa bulan akan datang akan menjadi sukar untuk anda, tetapi saya rasa sebagai sebuah pasukan, kami sudah bersedia.

“Kami akan memberikan segala-galanya dan dalam tempoh 13 perlawanan lagi, kita akan lihat sama ada usaha kami sudah mencukupi,” katanya.

Liverpool berpeluang melebarkan jurang pendahuluan kepada 10 mata jika mereka menang di Aston Villa, Khamis ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top