Liverpool tak kenal mengalah

Liverpool tak kenal mengalah


VIRGIL van Dijk muncul wira apabila menanduk gol kemenangan pada masa kecederaan bagi memastikan Liverpool membuka kempen Liga Juara-Juara dengan penuh dramatik menewaskan Atletico Madrid 3-2 di Anfield, pada Khamis.

Perlawanan sempena ulang tahun ke-47 pengendali, Arne Slot, sekali lagi menyaksikan The Reds dipaksa melalui debaran sehingga ke saat akhir sebelum mampu meraikan kemenangan bergaya.

Liverpool mendahului 2-0, namun kealpaan kembali menghantui mereka selepas membiarkan lawan bangkit menyamakan kedudukan senario yang sama pernah berlaku ketika menentang Bournemouth dan Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Namun, magis malam Eropah di Anfield seakan memberi jaminan apabila Van Dijk melonjak paling tinggi pada minit ke-93 untuk menanduk masuk gol kemenangan, disambut sorakan gemuruh penyokong tuan rumah.

Kemenangan itu turut mengekalkan rekod sempurna Liverpool musim ini, dengan empat daripada gol mereka hadir selepas minit ke-90 dan enam daripada lapan gol separuh masa kedua dijaringkan bermula minit ke-88.

Slot mengakui gembira dengan semangat juang anak buahnya, namun tetap mengingatkan agar pasukannya tidak terus mengulangi kesilapan sama.

“Perlawanan seperti ini sepatutnya tidak perlu diakhiri dengan gol lewat. Kami mencipta banyak peluang untuk gol ketiga, tetapi gagal memanfaatkannya,” kata pengendali dari Belanda itu.

Dalam aksi itu juga, penyokong Liverpool berpeluang menyaksikan penampilan sulung penyerang baharu, Alexander Isak, yang diturunkan selama 58 minit sebelum digantikan.

Isak, yang sempat mencetuskan detik cemas apabila mengalami hentakan di bahagian kaki selepas diasak pertahanan Atletico, Robin Le Normand, menunjukkan potensi besar dengan dua percubaan tepat ke arah penjaga gol, Jan Oblak.

Slot berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi ditampilkan penyerang Sweden itu.

“Bagi saya, dia tampak lebih cergas daripada jangkaan. Dia mampu bermain pada tahap ini walaupun baru dua minggu berlatih bersama. Tetapi kami perlu berhati-hati kerana jadual tiga perlawanan seminggu masih terlalu padat buatnya.”

Lebih menarik, gandingan awal Isak bersama pemain termahal kelab, Florian Wirtz, memberi bayangan masa depan cerah buat jentera serangan Liverpool.

 

LIGA JUARA-JUARA

Keputusan

Liverpool 3-2 Atletico Madrid

Ajax Amsterdam 0-2 Inter Milan

Paris Saint-Germain 4-0 Atalanta

Bayern Munich 3-1 Chelsea

Slavia Prague 2-2 Bodø/Glimt

Olympiakos 0-0 Pafos

 

Ringkasan AI

  • Virgil van Dijk menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan, memastikan Liverpool menewaskan Atletico Madrid 3-2
  • Liverpool awalnya mendahului 2-0 sebelum Atletico bangkit menyamakan kedudukan
  • Gol Van Dijk memastikan Liverpool mengekalkan rekod sempurna musim ini dengan empat gol lewat mereka
  • Penampilan sulung Alexander Isak bersama Liverpool disambut positif walaupun hanya bermain selama 58 minit
  • Prestasi Isak dan kerjasama awalnya dengan Florian Wirtz menunjukkan potensi masa depan cerah untuk serangan Liverpool



Source link

OR

Scroll to Top