PENDAHULU Liverpool terpaksa menangguhkan pesta kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) biarpun mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Leicester City, hasil jaringan pemain gantian Trent Alexander-Arnold pada minit ke-76.
Namun, kemenangan bergaya Arsenal 4-0 ke atas Ipswich Town yang bermain dengan 10 orang di Portman Road sebelum itu memastikan harapan tipis kelab London tersebut masih belum padam.
Di Stadium King Power, Liverpool menguasai permainan tetapi gagal memanfaatkan deretan peluang.
Mohamed Salah mengalami hari yang mengecewakan apabila dua kali rembatannya menggegar palang dan tiang The Foxes bimbingan Ruud van Nistelrooy berkenaan.
Namun, momen magis tiba juga apabila bola muntah selepas rembatan Salah sekali lagi terkena tiang jatuh ke kaki Alexander-Arnold yang tidak menunggu lama untuk meledak sepakan kaki kiri menembusi barisan pertahanan Leicester minit ke-76.
Pengendali Liverpool, Arne Slot, tidak menyembunyikan rasa bangganya berkata, The Reds akan terus melangkah dengan kekuatan mentaliti luar biasa baki saingan musim ini.
“Mereka bermain dengan semangat, kerana mereka tahu pasukan Liverpool sedang memburu sesuatu yang istimewa di penghujung musim untuk penyokong-penyokong.”
Slot, yang berpotensi menjadi pengendali Belanda pertama menjulang kejuaraan liga Inggeris, menambah: “Trent tahu bila masa yang tepat untuk menyerlah, dan itu adalah ciri pemain kelas dunia.”
Sebagai rekod, Liverpool kini di puncak liga dengan kelebihan 13 mata dan hanya lima perlawanan berbaki.
Jika Arsenal tewas kepada Crystal Palace pada Khamis, Liverpool akan dimahkotakan juara, namun sekiranya tidak, mereka berpeluang memastikan gelaran itu apabila menentang Tottenham Hotspur di Anfield Ahad ini.
“Kami fokus pada perlawanan menentang Spurs. Saya pasti Anfield akan bergema. Ia satu perlawanan besar yang kami amat nantikan,” ujar Slot.
Di sebalik kemenangan Liverpool, berita sedih menyelubungi Leicester – kekalahan ini mengesahkan penyingkiran mereka ke Liga Kejuaraan buat kali ke-13, satu rekod tersendiri yang pastinya tidak dibanggakan oleh kelab dari Midlands itu.
Sementara itu, di Craven Cottage, Chelsea menampilkan kebangkitan dramatik untuk menghidupkan semula harapan ke Liga Juara-Juara Eropah.
Gol penyamaan oleh Tyrique George pada minit ke-83, disusuli ledakan Pedro Neto dalam masa kecederaan, memastikan kemenangan 2-1 ke atas jiran setempat, Fulham.
Chelsea kini mengumpul 57 mata selepas 33 perlawanan – hanya dua mata di belakang Newcastle (tempat ketiga) dan satu mata di belakang Manchester City.
Kedudukan kelima yang mereka rebut sekarang adalah tempat terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara, meskipun Nottingham Forest dan Aston Villa masih berkongsi jumlah mata sama dan mempunyai baki perlawanan.