Liverpool: Liverpool mengekalkan rekod sempurna dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Everton 2-1 dalam derby Merseyside penuh tegang di Anfield, malam tadi.
Skuad bimbingan Arne Slot itu menguasai babak pertama menerusi jaringan Ryan Gravenberch dan Hugo Ekitike, sebelum Idrissa Gueye merapatkan jurang buat Everton pada separuh masa kedua.
Gravenberch membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 selepas menerima hantaran Mohamed Salah yang melepasi benteng pertahanan, sebelum pemain tengah Belanda itu menyudahkan rembatan menarik menewaskan Jordan Pickford.
Ekitike menggandakan kelebihan pada minit ke-29 apabila menyambut hantaran Gravenberch dengan kawalan kemas, sebelum menolak bola di celah kaki Pickford.
Namun, Everton mula bangkit selepas rehat dan berjaya membalas pada minit ke-58 menerusi Gueye yang melepaskan rembatan padu ke penjuru kiri gol selepas menerima umpanan bijak Iliman Ndiaye hasil hantaran lintang Jack Grealish.
Kemenangan itu menyaksikan Liverpool meraih lima kemenangan daripada lima perlawanan liga setakat ini, sekali gus terus gah di puncak EPL.
© New Straits Times Press (M) Bhd






