KAPTEN Liverpool, Virgil van Dijk, yakin sambutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) The Reds tidak akan dibayangi oleh pemergian Trent Alexander-Arnold.
Pemain bek kanan kelahiran Liverpool berusia 26 tahun itu mengumumkan minggu lalu bahawa beliau akan meninggalkan Merseyside apabila kontraknya tamat pada penghujung Jun, dan dijangka menyertai gergasi La Liga, Real Madrid.
Alexander-Arnold membuat penampilan pertamanya sejak mengesahkan pemergiannya apabila dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan seri 2-2 menentang Arsenal, dan beliau diejek oleh sebahagian penyokong Liverpool.
Van Dijk, yang mengakui pasukannya kecewa kehilangan pemain penting seperti Alexander-Arnold, berkata pemain itu perlu berdepan dengan reaksi negatif tersebut.
Beliau juga berjanji bahawa Liverpool merancang untuk meraikan kejuaraan liga utama Inggeris ke-20 mereka dengan penuh gaya serta memastikan Alexander-Arnold turut serta dalam sambutan mengangkat trofi di Anfield pada 25 Mei.
“Kami mahu memenangi dua lagi perlawanan dan selepas wisel penamat, termasuk dia (Alexander-Arnold), mengangkat trofi dan meraikan seperti yang belum pernah kami lakukan sebelum ini,” kata pemain antarabangsa Belanda berusia 33 tahun itu.
Perarakan bas terbuka di bandar Liverpool akan menyusul pada keesokan harinya.
Ketika ditanya sama ada pemergian Alexander-Arnold boleh membayangi sambutan kejuaraan, Van Dijk berkata: “Saya rasa tidak. Seharusnya tidak. Ada ramai lagi pemain yang juga layak mendapat hari yang luar biasa.”
Van Dijk, yang menandatangani kontrak baharu dua tahun bulan lalu, berkata semua pemain Liverpool perlu meneruskan dan fokus pada dua perlawanan terakhir musim ini.
“Reaksi penyokong berlaku. Dia perlu menghadapinya. Kami sebagai satu pasukan juga perlu menghadapinya. Sejujurnya, saya tidak menjangkakan sesuatu, tetapi saya rasa mungkin dia menjangkakan ini.
“Ia tidak mudah, sama sekali tidak. Kami ada untuknya. Kami kecewa dia tidak bersama kami tahun depan kerana dia pemain yang hebat dengan kualiti luar biasa yang telah kami lihat selama tujuh tahun terakhir ini,” kata Van Dijk.
Pemain Belanda itu juga menegaskan bahawa situasinya dan situasi penjaring terbanyak, Mohamed Salah, 32 tahun, yang juga baru-baru ini menandatangani kontrak baharu dua tahun, tidak boleh dibandingkan dengan kedudukan Alexander-Arnold.
“Setiap orang mahu pengalaman berbeza dan dia merasakan telah melakukan segalanya di Liverpool – dan sememangnya melakukannya – dan kini mahu mencuba sesuatu yang berbeza.
“Anda bercakap tentang salah satu kelab terbesar di dunia, Real Madrid. Saya juga perlu memastikan masa depan, tetapi Liverpool adalah tempat terbaik untuk saya,” kata Van Dijk.