Botol air milik Henderson yang tertulis arah sepakan penalti pemain Liverpool ketika perlawanan Perisai Komuniti pada Ahad.
PENJAGA gol Crystal Palace, Dean Henderson mencuri tumpuan selepas menjadi wira dalam penentuan sepakan penalti menewaskan Liverpool untuk memenangi Perisai Komuniti.
Beliau mendedahkan turut menggunakan ‘nota rahsia’ sebagai persediaan.
Liverpool mendahului dua kali menerusi jaringan pemain baharu, Hugo Ekitike dan Jeremie Frimpong pada separuh masa pertama namun Palace bangkit menyamakan kedudukan menerusi Jean-Philippe Mateta dan Ismaila Sarr.
Perlawanan berakhir 2-2 tanpa masa tambahan, sekali gus membawa kepada penentuan sepakan penalti.
Mohamed Salah gagal menyempurnakan penalti keduanya dalam tempoh seminggu sebelum Henderson menyelamatkan sepakan Alexis Mac Allister dan Harvey Elliott untuk memastikan kemenangan 3-2.
Kamera beIN Sports merakam Henderson membaca nota pada botol air yang disembunyikan di bawah tuala dipercayai mengandungi maklumat tentang arah sepakan pemain Liverpool.
“Saya suka momen-momen besar, saya suka tekanan sebegini. Kerja rumah yang kami lakukan untuk persediaan penalti sangat berbaloi.
Mereka ada pemain hebat dan pasukan yang mantap, tapi dua trofi dalam tiga bulan adalah sesuatu yang luar biasa,” kata Henderson.
Henderson juga mengakui kemenangan ini mengembalikan kenangan manis ketika Palace menjulang Piala FA musim lalu selepas menewaskan Manchester City di final di Wembley.
Ketika itu, Henderson menjadi benteng kebal dengan enam kali menafikan percubaan City termasuk sepakan penalti Omar Marmoush sekali gus mencetus insiden panas bersama pengendali City, Pep Guardiola sejurus tamat perlawanan.