am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sudah memohon peruntukan sebanyak RM1.8 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyelesaikan masalah muara cetek di Jeti LKIM Kuala Besar, dekat sini.
Pengarah LKIM Kelantan Sobri Ibrahim berkata, sebanyak RM300,000 bagi menyelesaikan masalah hakisan di sekitar kawasan itu.
“Selain itu, sebanyak RM1.5 juta lagi peruntukan dipohon untuk tambahan jeti sepanjang 30 meter dengan bentuk T,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan keluhan nelayan yang berdepan masalah muara cetek di Jeti Kuala Besar di sini sejak lebih 10 tahun lalu dan menyukarkan pergerakan bot untuk keluar masuk bagi menghantar hasil tangkapan laut.
Keadaan itu menyebabkan pengusaha bot nelayan bagi kelas A dan B terpaksa mendarat ikan di lokasi lain yang terletak kira-kira 300 meter (m) dari jeti.
Sobri berkata, sekiranya peruntukan ini diluluskan, pihaknya akan melaksanakan kerja membaik pulih jeti dan kawasan sungai dengan segera.
“Insya-Allah kita akan cuba menyelesaikan isu ini dengan sebaik mungkin demi kemudahan kepada nelayan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata, peruntukan yang dimohon itu untuk mendalamkan sungai di muara terbabit bagi membolehkan bot besar masuk ke jeti LKIM untuk mendarat ikan.
“Muara menjadi cetek disebabkan ombak membawa masuk pasir dan pasir berkenaan mendap di lokasi itu.
“Kita akan cuba membantu nelayan di kawasan berkenaan dan turut meminta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membantu bagi mempercepatkan kelulusan peruntukan yang dipohon.
“Kerjasama JPS ini amat diperlukan untuk membantu kelulusan peruntukan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya peruntukan lulus, antara kerja yang akan dibuat di lokasi itu adalah membina pemecah ombak bagi memulihkan semula sungai berdekatan kompleks LKIM.
Menurutnya, kerja lain adalah untuk mendalamkan muara bagi membolehkan bot nelayan masuk untuk mendarat hasil tangkapan.
“Kita akan melakukan yang terbaik untuk memastikan nelayan di kawasan itu mendapat kemudahan dan membawa hasil tangkapan mereka ke jeti LKIM,” katanya.
Sebarang masalah di kawasan anda boleh dikongsi ke e-mel ke Suara Anda, Kami Dengar di am@hmetro.com.my
© New Straits Times Press (M) Bhd