Burton-Upon-Trent: Pemain tengah, Ruben Loftus-Cheek berkata, dia mampu beraksi di pelbagai posisi untuk Thomas Tuchel sebaik kembali menyertai skuad kebangsaan buat kali pertama selepas tujuh tahun.
Loftus-Cheek, yang pernah bermain di bawah kendalian Tuchel di Chelsea dari 2021-22, dipanggil lewat menyertai skuad bagi aksi kelayakan Piala Dunia bulan ini menentang Andorra dan Serbia selepas Adam Wharton dari Crystal Palace menarik diri kerana kecederaan.
“Ia sudah lama,” kata pemain AC Milan itu di pusat latihan England di St. George’s Park, semalam.
“Saya pernah menjadi sebahagian daripada skuad (Piala Dunia) 2018 dan juga musim selepas itu saya masih dipanggil, tetapi kemudian saya alami kecederaan Achilles yang teruk.
“Apabila terlalu lama tidak bersama skuad kebangsaan, saya sudah terbiasa untuk tidak dipanggil.
“Anda masih mahu beraksi baik di peringkat kelab dengan harapan mungkin ada peluang. Tetapi saya akhirnya terus melupakan perkara itu dan hanya menjadi penyokong pasukan sahaja,” tambahnya.
Loftus-Cheek yang muncul daripada akademi Chelsea sebagai pemain tengah, mengakui Tuchel banyak membantunya menjadi lebih versatil.
“Apabila dia datang ke Chelsea, dia bercakap dengan saya mengenai bermain di posisi bek sayap. Saya kata ‘Mustahil.’ Tetapi akhirnya saya bermain juga di situ,” kata pemain berusia 29 tahun itu sambil ketawa.
“Tuchel kata saya seorang pelari yang kuat dan ada kelajuan untuk bermain di posisi itu.
“Saya beraksi di banyak posisi di bawah kendaliannya dan dia menghargai kekuatan fizikal saya… Dalam kejohanan, apa sahaja boleh berlaku, jadi kemampuan bermain pelbagai posisi adalah sesuatu yang baik,” katanya lagi.
Karier Loftus-Cheek sering diganggu kecederaan, tetapi dia tetap bertekad membantu England menamatkan penantian trofi pertama sejak Piala Dunia 1966.
“Kami sangat hampir pada 2018 (tempat keempat Piala Dunia) dan pasukan juga hampir beberapa kali selepas itu (berpeluang menjulang piala). Saya rasa berdebar menonton perlawanan-perlawanan itu. Saya berharap pada masa depan kami boleh pergi lebih jauh,” katanya.
England akan menentang Andorra tengah malam Ahad di Villa Park sebelum bertemu Serbia di Belgrade tiga hari kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd