Lokasi Khabib Gym sedang dikenal pasti

Lokasi Khabib Gym sedang dikenal pasti


LOKASI bersesuaian sedang dikenal pasti bagi pembinaan gimnasium bekas juara Kejohanan Pertarungan Unggul (UFC), Khabib Nurmagomedov (Khabib Gym), di sekitar Johor Bahru.

Menurut Exco Belia, Sukan, Pembangunan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah, setakat ini beberapa lokasi telah dikenal pasti namun ia perlu mendapat perkenan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Mohd Hairi (dua dari kanan) bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika mengadakan pertemuan dengan Khabib.

“Seperti kita semua tahu perbincangan awal telah dibuat antara Khabib dan Tuanku (Tunku Mahkota Ismail), kami hanya meneruskannya di Abu Dhabi dan Dubai.

“Rekabentuknya juga sudah siap cuma menunggu perkenan daripada Tuanku, termasuk Khabib sendiri khususnya dari segi model bisnes dan bagaimana untuk kita teruskan program-program bersama dengan Khabib Gym.

“Ada beberapa lokasi, tetapi kita nak pastikan Khabib Gym ini berada dalam laluan JS-SEZ (Inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura), selain kita mahu memastikan Khabib Gym ini dibina di kawasan yang menjadi tumpuan ramai khususnya orang muda,” katanya.

Mohd Hairi berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Back To School di Dewan Kampung Melayu di sini pada Ahad.

Sementara itu, Mohd Hairi berkata, kerajaan Johor merancang untuk membangunkan sukan padel dan pickelball di negeri itu.

Menurutnya, usaha itu akan dilakukan menerusi pembinaan enam gelanggang sukan berkenaan.

“Ada dua lokasi dipilih iaitu di Nusa Duta untuk gelanggang sukan padel manakala pickleball pula berdekatan Stadium Hoki Johor di Taman Daya.

“Tender akan dibuka dijangka pada bulan ini atau Mac dengan masa penyiapan dalam enam hingga lapan bulan. Jadi tahun ini kemungkinan kita akan ada enam gelanggang,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top