norhayati_nordin@hmetro.com.my
SIRI 1
Sebut saja KRU, trio adik-beradik popular dibarisi Datuk Norman Abdul Halim, 54, Datuk Yusry, 52 dan Edry, 49, pastinya menarik perhatian ramai terutama Generasi X.
Ditubuhkan pada 1992, KRU yang sudah melewati tiga dekad berkecimpung dalam karier seni hingga kini tetap ‘mekar’ meskipun usia kian meningkat.
Mengimbau kisah lalu, Norman yang juga abang sulung memaklumkan pendedahan muzik KRU bermula ketika mereka menetap di London susulan bapa, Abdul Halim Kamal bekerja di sana.
“Ketika di sana, kami dapat banyak pendedahan (dalam muzik). Walaupun kami bertiga ‘introvert’, tapi saya tidaklah sangat dan hanya pemalu saja.
“Tapi, Yusry dan Edry lagi teruk (sifat ‘introvert’). Nak pergi beli McDonald’s pun susah, nak suruh orang lain yang bercakap untuk mereka. Memang susah dua orang ini nak bercakap.
“Tapi, bila kita menetap di sana (London), kita juga belajar berurusan dengan orang luar. Saya sendiri bekerja di stesen minyak, Yusry di restoran tandoori dan Edry pula hantar surat khabar.
“Itu yang bagi pendedahan pada kita berurusan dengan orang. Jadi dengan duit kerja itu juga, kita kumpul beli ‘vinyl’ (piring hitam lagu) dan kita dengar serta buat ‘reproduce’ semula,” katanya.
Menurut Norman, dari situ mereka bertiga belajar bagaimana mencipta lagu dan ketika itu fokus lebih penerbitan sebab sudah beli CD lagu untuk pendedahan dan kemudiannya ‘reprogram’ semula.
“Kita belajar buat lagu dan semua itu memang belajar sendiri. Begitulah pendedahan awalnya. Macam Yusry sebagai seorang pakar dalam kesan visual, sama juga dengan Edry sebagai penerbit (lagu), dia bukan masuk sekolah mana-mana.
“Mereka (Yusry dan Edry) buat sendiri, lebih kepada ‘by heart’. Dia belajar dan tengok internet apa ‘tips’ dan ‘guide’ sebagainya dan dia buat balik. Macam saya sendiri, lebih kepada komposer dan bukan teknikal seperti adik-adik saya.
“Tapi sedar tak sedar, lagu Untukmu adalah lagu tertua kita (KRU) sebelum lagu Mengerti yang dah 34 tahun. Saya buat lagu Untukmu itu di London ketika berusia 15 tahun dan sekarang ia sudah berusia 38 tahun,” katanya.
Menurut Norman lagi, ilham lagu berkenaan dihasilkannya berdasarkan perasaan cinta ketika itu. Katanya, kebanyakan lagu KRU dihasilkan daripada ilham pengalaman sendiri dan kisah orang lain.
“Macam juga lagu Awas, ia diilham berdasarkan papan tanda dan dikaitkan dengan penyondol. Suatu ketika dulu, ada seorang artis wanita yang kami suka atau ‘crush’ padanya, cantiklah. Tapi, dia pergi pada orang yang tua. Itulah jadi lagu.
“Macam Edry buat lagu baharu KRU, Sampai Sini Saja yang ceritanya mengenai perceraian. Sedihlah, tapi dia buat lagu itu selepas dengar dan tengok banyak kejadian (cerai) berlaku pada 2024,” katanya.
Norman berkata, ada juga lagu KRU yang dihasilkan sebagai tanda protes seperti Fanatik dan Negatif. Tapi semuanya tetap bergantung pada inspirasi yang datang ketika karya itu dibuat.
Tidak hanya itu, Norman turut memaklumkan kemunculan KRU dalam industri tanah air ketika era ‘rock kapak’ popular dan diakui membuat mereka ‘struggle’ dalam usaha memperjuangkan muzik rap dan R&B.
ESOK: Persaingan dengan 4U2C
© New Straits Times Press (M) Bhd