saufi@mediaprima.com.my
PURATA perbelanjaan sebanyak RM2,400 setahun untuk setiap individu di negara ini bagi membeli gajet, peranti dan perkakas berkaitan dengan teknologi semasa.
Berdasarkan laporan beberapa kajian mendapati nilai penggunaan barangan Komunikasi, Internet dan Teknologi (ICT) di negara ini pada 2023 dianggarkan sekitar RM22 bilion dan nilai itu dijangka terus meningkat saban tahun.
Aktivis teknologi, Azrul Zafri Azmi, berkata beberapa laporan pasaran mendapati berlaku pertumbuhan sekitar 1.5 peratus untuk setiap tahun bagi perbelanjaan berkaitan perkakas ICT ini.
“Dalam kalangan pengguna individu, purata perbelanjaan bagi gajet dan barangan elektronik adalah sekitar RM201 sebulan atau RM2,400 setahun bagi setiap orang.
“Jumlah ini menunjukkan komitmen tinggi rakyat terhadap teknologi moden dalam kehidupan seharian.
“Kajian turut menunjukkan bahawa 90 peratus pengguna gemar membeli secara dalam talian dengan perbelanjaan elektronik secara e-dagang mencecah sekitar RM13 bilion pada 2022,” katanya.
Beliau berkata, walaupun peningkatan hanya 3.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, trend ini kekal stabil selepas lonjakan tinggi semasa era pandemik.
Katanya, antara barangan yang paling mendapat sambutan ialah peranti pintar dan perkakas rumah yang berkaitan dengan Internet Kebendaan (IoT) yang merangkumi hampir 45 peratus daripada jumlah jualan elektronik pengguna pada 2023.
Menurutnya, sikap pengguna yang semakin sensitif terhadap harga turut menjadi pemacu trend ini, dengan 43 peratus daripada mereka mengutamakan nilai berbaloi untuk wang dalam pembelian elektronik.
“Selain itu, faktor luaran seperti inisiatif pendigitalan kerajaan termasuk pengembangan rangkaian 5G serta penerapan teknologi dalam sektor perindustrian turut mendorong peningkatan permintaan terhadap peranti pintar serta digital.
“Penganalisis industri menjangkakan trend ini akan terus berkembang secara sederhana, tetapi stabil sehingga 2028, terutamanya dalam kategori rumah pintar, peranti boleh pakai (wearables) dan gajet berasaskan IoT.
“Malaysia juga berada di landasan yang kukuh untuk memperkukuh infrastruktur digital dengan penyertaan aktif sektor swasta dan awam dalam pelaksanaan teknologi baharu,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) berkata, lima trend utama perbelanjaan gajet oleh rakyat Malaysia merangkumi pembelian telefon pintar, peranti rumah pintar, komputer riba, aksesori digital dan barangan hiburan seperti konsol permainan.
Katanya, gabungan gaya hidup digital, e-dagang yang kukuh dan galakan teknologi dari kerajaan, Malaysia dilihat bersedia menuju masa depan yang lebih berteknologi dan berinovasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd