London: Pengurus West Ham, Julen Lopetegui, menegaskan beliau tidak bimbang dengan khabar angin bahawa kedudukannya sebagai jurulatih kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sedang terancam.
Pasukan bimbingan Lopetegui kini hanya lima mata di atas zon penyingkiran selepas memenangi hanya tiga daripada 11 perlawanan pertama mereka.
The Hammers dijadualkan menentang Newcastle Selasa ini, dengan Lopetegui menjadi tumpuan utama di tengah-tengah spekulasi bahawa beliau hanya mempunyai dua perlawanan untuk menyelamatkan pekerjaannya.
Bekas pengendali Real Madrid dan Sepanyol itu baru sahaja mengambil alih tugas daripada David Moyes pada awal musim ini, dalam kemunculannya semula ke EPL selepas tempoh sebelumnya bersama Wolves.
Namun, meskipun tekanan besar melanda di awal kepimpinannya, jurulatih berusia 58 tahun itu kekal tenang.
“Kehidupan kami adalah untuk hidup di bawah tekanan. Kerja kami memang seperti ini, dan sebab itu kami memilih jenis pekerjaan ini,” kata Lopetegui kepada wartawan.
“Saya tidak mendengar atau membaca apa yang diperkatakan. Saya benar-benar fokus.
“Yang lebih penting ialah kami sedang bekerja keras untuk memperbaiki keadaan. Saya fikir pemain menunjukkan komitmen tinggi untuk melakukannya, dan saya pasti kami akan mencapai tahap yang diinginkan.”
West Ham hanya memenangi satu daripada empat perlawanan terakhir mereka, dan kekalahan di Newcastle akan memberikan tamparan besar kepada masa depan Lopetegui di kelab itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd