July 23, 2024

Lorenzo gembira percaturan buah hasil

Lorenzo gembira percaturan buah hasil


PENGENDALI Colombia, Nestor Lorenzo gembira setelah percaturannya membuahkan hasil walaupun beraksi 10 pemain ketika menewaskan Uruguay, 1-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Bank of America sekali gus menempah slot final Copa America 2024 berdepan Argentina.

Pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Crystal Palace, Jefferson Lerma terlebih dulu meletakkan Colombia di depan minit ke-39 dalam aksi di Charlotte, North Carolina.

Los Cafeteros kemudian kehilangan pertahanan kanan Daniel Munoz yang dibuang padang minit ke-46 masa kecederaan.

Separuh masa kedua biarpun kurang pemain bahagian pertahanan, Lorenzo memilih mengekalkan dua penyerang daripada mengubah kepada gaya bertahan.

“Antara topik utama yang dibincangkan separuh masa pertama ialah pasukan tidak akan tampil gaya bertahan. Biarpun hampir mustahil mengekalkan prestasi di padang dengan 10 pemain.

“Kami juga menganalisis situasi pasukan yang bermain dengan 10 pemain sebelum ini. Dengan formasi itu, kami hanya mempunyai dua pilihan iaitu 5-4, 5-3-1 atau mengekalkan 4-3-2 dan mencipta peluang.

“Kami pilih yang terbaik dan Tuhan membantu, beberapa peluang mereka tidak masuk, malah kami juga terlepas beberapa gol sebelum kami mara,” kata Lorenzo.

Colombia sebelum itu berpeluang menggandakan pendahuluan pada penghujung babak namun Mateus Uribe terlepas dua peluang.

Namun Lorenzo mengakui berasa lega apabila mengatasi jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa.

“Pada saya untuk menewaskan Bielsa, anda perlu berjalan jauh. Dia adalah jurulatih rujukan dan saya sangat mengaguminya sebagai seorang insan. Giliran kami untuk menang, itu sahaja,” katanya.

Pada masa sama Lorenzo juga enggan mengkritik Munoz, yang menerima kad kuning kedua selepas menyiku pemain Uruguay, Manuel Ugarte.

“Daniel berasa agak sedih kerana dia adalah singa di padang dan sekali lagi dia menjadi sedikit emosi.

“Saya memeluknya dan memberitahunya tanpa dia, pasukan Colombia tidak akan berada pada tahap ini, jadi dia perlu mendongak tinggi ke langit,” katanya.

Kemenangan Colombia juga mencatat rekod 28 perlawanan tanpa kalah skuad kendalian Lorenzo, yang kemudian memberi penghormatan kepada bekas pengendali Francisco ‘Pacho’ Maturana, yang mengharungi 27 perlawanan tanpa kekalahan.

“Pacho dan kumpulannya, mereka memberi kami warisan yang sangat penting. Mereka meninggalkannya untuk kami dan itu adalah asas untuk bola sepak Colombia.

“Jadi saya tidak lebih hebat daripadanya, ini memberi manfaat kepada bola sepak Colombia,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top