am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia menyifatkan peningkatan kes kenderaan berat yang tidak mempunyai cukai jalan, insurans dan menggunakan pemandu warga asing sebagai masalah lama yang semakin membarah.
Pengerusinya, Datuk Michael Loo Leep Chye berkata, langkah tegas seperti yang dicadangkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menggantung dan membatalkan lesen syarikat terbabit wajar dan perlu dilaksanakan.
“Kami tidak bersetuju pengusaha menggajikan pemandu warga asing, lebih-lebih lagi tanpa lesen sah. Ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Menurutnya, ahli persatuan dilarang menggaji warga asing sebagai pemandu lori kerana ia menyalahi undang-undang.
“Jika mereka cabar undang-undang, mereka tidak layak jadi ahli persatuan ini. Tindakan tegas perlu diambil terhadap syarikat dan individu terbabit.
“Syarikat sebegini biasanya terlibat dalam pengangkutan bahan galian seperti pasir, batu dan tanah,” katanya.
Baru-baru ini JPJ mendedahkan kesalahan membabitkan ratusan syarikat pengendali lori yang didapati tidak memperbaharui cukai jalan, insurans serta menggunakan pemandu tanpa lesen sah.
JPJ mendedahkan 15 syarikat dicadangkan untuk pembatalan lesen dan 513 lagi digantung operasinya, selain amaran terhadap 28 syarikat lain susulan peningkatan kes kemalangan membabitkan kenderaan berat.
Menurut Micheal, antara punca utama pengusaha tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans ialah bebanan kos operasi yang tinggi.
“Kos cukai jalan dan insurans dibayar penuh untuk setahun, tetapi operasi hanya berjalan beberapa hari setiap bulan, belum masuk cuti umum dan sekatan permit doket bahan galian,” katanya.
Beliau turut menegur isu penyelarasan undang-undang antara JPJ, JKR dan Kementerian Kerja Raya (KKR) berhubung muatan maksimum atau BDM (Berat Dengan Muatan).
“JPJ dan persatuan sudah bersetuju dengan BDM tambah tolak 10 peratus untuk lori tipper, tetapi dalam masa sama, ada pula pengusaha yang dapat kelulusan BDM lebih tinggi. Di sini berlaku ‘double standard’ yang sangat mengelirukan,” katanya.
Menurutnya, pengusaha tipper berdepan dilema apabila berat lori tidak sepadan dengan doket yang dibayar. Akibatnya, mereka terpaksa terlebih muatan atau menanggung kerugian.
“Sebagai contoh, lori 10 tayar dengan BDM 24 tan, jika tolak berat lori 11 tan, hanya boleh bawa 13 tan. Tapi doket yang dikeluarkan adalah untuk 20 tan,” katanya.
Justeru, beliau berharap kerajaan meneliti isu penyelarasan undang-undang ini agar keadilan dapat diberikan kepada semua pihak.
“Selagi isu ini tidak diselesaikan, penguatkuasaan JPJ dan APAD pun akan pincang. Industri pengangkutan tak akan sihat,” katanya.
Persatuan juga menyokong penuh tindakan JPJ terhadap pengusaha yang ingkar, termasuk mereka yang tidak memperbaharui lesen, cukai jalan, insurans dan tidak menjalani pemeriksaan Puspakom.
“Pada masa ini kami belum ada mekanisme pemantauan sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu prosedur operasi standard (SOP) komprehensif dibangunkan Kementerian Pengangkutan Malaysia dengan penglibatan semua pihak termasuk pengusaha lori.
“Kami sedia menyumbangkan idea agar dapat dimasukkan dalam pelaksanaan undang-undang atau SOP baharu,” katanya.
Menurutnya, semua pemandu lori wajar diwajibkan menghadiri kursus keselamatan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap keselamatan awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd