BEKAS pemain Liverpool, Dejan Lovren mengkritik kelab itu berhubung perbincangan kontrak dibuat dengan Mohamed Salah yang masih belum menemui kata putus.
Pemain antarabangsa Mesir itu merupakan salah seorang daripada tiga pemain The Reds akan tamat kontrak musim ini bersama dengan pemain pertahanan, Trent Alexander-Arnold serta Virgil van Dijk yang masih belum menandatangani perjanjian baharu.
Laporan menyebut bahawa perbincangan masih diteruskan mengenai kontrak baharu untuk Salah di samping minat beberapa kelab lain terutama dari Arab Saudi yang sedia menyambar bintang Liverpool itu.
Dejan Lovren bermain untuk Liverpool dari 2014 hingga 2020, mencatatkan 185 penampilan dan turut beraksi bersama Salah semasa beliau di Anfield.
Dia mendedahkan telah bercakap dengan Salah mengenai kontrak tersebut dan membuat kesimpulan bahawa kelab tidak cukup menghormati Salah.
“Saya perlu berhati-hati dengan apa yang saya katakan sekarang kerana saya tahu banyak perkara. Sejujurnya, saya tidak tahu jumlah (gaji) yang tepat, tetapi apa sahaja yang (Salah) minta, saya rasa dia layak menerimanya. Mudah sahaja kerana dia telah menjalankan tugasnya di atas padang.
“Saya boleh bercakap dengan lebih terperinci. Salah percaya bahawa ada perkara yang kurang dari pihak kelab, dan saya harap ia akan diselesaikan tidak lama lagi. Tetapi realiti semasa dia lebih hampir untuk meninggalkan kelab daripada kekal,” katanya.
Lovren menyatakan faktor umur Salah mungkin menjadi faktor utama dalam perbincangan kontrak tetapi percaya perkara itu boleh diabaikan kerana keadaan fizikal dan mentalnya yang kuat untuk terus bermain.
“Akhirnya, saya membuat kesimpulan bahawa kelab tidak cukup menghormatinya. Sekurang-kurangnya tidak seperti yang mereka fikir mereka layak, tetapi itu adalah sisi lain dari cerita dan ini semua tentang apa yang berlaku di belakang tabir,” ujarnya.