LPP nafi tidak pernah tegur Lembaga Pengarah NAFAS

LPP nafi tidak pernah tegur Lembaga Pengarah NAFAS



am@hmetro.com.my

Alor Setar: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menafikan dakwaan pihaknya tidak pernah membuat teguran terhadap Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebelum bertindak menggantung mereka berkuat kuasa kelmarin.

Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang Amir Matamin sudah beberapa kali memberi teguran, namun tidak diendahkan sehinggalah keputusan menggantung perlembagaan NAFAS dibuat.

“Benda ini sudah berlaku lama, sudah beberapa tahun, ada teguran dan sebagainya… saya difahamkan ada sampai ke peringkat menimbulkan ugutan daripada pihak mereka.

“Jadi Ketua Pengarah sebagai Pendaftar kena bertindak. Tidak timbul dia tidak tegur, dia sudah memberi peringatan sebelum itu, saya tak ingat beberapa kali tapi yang terakhir memang ada teguran apabila mereka bertindak sesuka hati tanpa rujuk kepada pendaftar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS yang menyifatkan penggantungan perlembagaan oleh Amir disebabkan konflik dalaman dan ketidakharmonian sebagai alasan lemah dan sepatutnya berunding terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, pihaknya berharap Ahli Lembaga Pengarah berkenaan bersabar berikutan mereka hanya digantung tugas dan bukan dipecat.

Katanya, individu terbabit dijangka boleh kembali dalam NAFAS selepas pentadbir kembali ‘mengharmonikan’ dan ‘meluruskan’ pengurusan NAFAS.

“Mereka cuma digantung, jangan ada kebimbangan apa-apa yang penting mereka terus berhubungan dengan pendaftar, tiada masalah pun untuk itu.

“Dulu perlembagaan NAFAS pernah digantung (1 Jun 2018) zaman Datuk Salahuddin Ayub sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam tempoh yang beberapa lama, jadi tak timbul benda ini tergesa-gesa dan tak pernah berlaku dan sebagainya, ia pernah berlaku,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top