LTdL 2024: Beberapa jalan di Kuala Kangsar ditutup Selasa ini

LTdL 2024: Beberapa jalan di Kuala Kangsar ditutup Selasa ini


IPOH-  Beberapa jalan di Kuala Kangsar akan ditutup secara berperingkat pada 1 Okt ini bagi memberi laluan kepada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang memasuki edisi ke-28.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata penutupan jalan dan lencongan untuk semua jenis kenderaan akan dilaksanakan bermula 11 pagi hingga 12 tengah hari bagi mengawal kelancaran lalu lintas dan keselamatan di lokasi terlibat ketika acara sedang berlangsung.

Heisham berkata peringkat ketiga perlumbaan laluan Perak membabitkan Taiping–Cameron Highlands dan akan melalui Kuala Kangsar melibatkan jarak sejauh 170.3 kilometer (km).

“Penutupan akan dilakukan di kilometer 51-65 Jalan Ipoh Butterworth iaitu Bukit Berapit ke Hospital Kuala Kangsar, Jalan Raja Idris (Hospital Kuala Kangsar ke Simpang Penaga) dan Jalan Kuala Kangsar ke Sayong dan Tanjung Belanja (Jambatan Sultan Abdul Jalil ke Kledang/Kota Lama Kanan).

“Kenderaan dari arah Sungai Siput–Kledang/Sayong akan dilencongkan ke Jalan Ipoh Butterworth (Kota Lama Kiri), Taman Indah ke Jalan Raja Idris pula dilencongkan ke arah Jalan Taiping (pekan Kuala Kangsar) manakala kenderaan dari arah Jalan Raja Idris ke Sungai Siput dilencongkan ke Jalan Ipoh Butterworth (Kota Lama Kiri),” katanya.

Heisham berkata semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan supaya tidak melalui jalan yang digunakan oleh penganjur perlumbaan itu pada masa dan tarikh yang ditetapkan.

“Pengguna jalan raya juga harus memberi kerjasama dan mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas serta memilih jalan alternatif bagi mengurangkan kesesakan,” katanya.

— BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top