LTDL 2024: Syritsa galas tugas getir buru kemenangan

LTDL 2024: Syritsa galas tugas getir buru kemenangan


KUALA LUMPUR – Pakar pecut pasukan Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa menjadi sandaran utama pasukan itu dalam usaha meraih kemenangan berganda dalam saingan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada 29 September hingga 6 Oktober ini.

Pelumba berusia 24 tahun dari Rusia itu akan dibantu empat pelumba dari Kazakhstan iaitu Vadim Pronsky, Igor Chzan, Yevgeny Gidich, Anton Kuzmin dan Rudiger Selig (Jerman), dalam senarai rasmi pelumba LTdL 2024 yang dikeluarkan pasukan Astana.

Selig yang berusia 35 tahun dan dikenali sebagai pelumba pecut berpengalaman dijangka akan berperanan sebagai lead out utama Syritsa dalam strategi perlumbaan khususnya dalam mengatur henjutan terakhir setiap peringkat perlumbaan.

Keupayaan Anton Kuzmin, 27, pula dilihat mampu memberi cabaran untuk menempatkan diri dalam kelompok pelumba terbaik keseluruhan (GC) dengan rekod menduduki tangga ketiga dan keempat di Tour of Iran dan Tour of Istambul tahun lepas

Saingan tahun ini dijangka lebih mencabar dengan laluan perlumbaan yang lebih landai dan persaingan sengit daripada 22 pasukan, termasuk dua pasukan berstatus world team – DSM Firmenich PostNL dan EF Education Easypost – yang turut menampilkan barisan pelumba terkuat masing-masing.

Buruan jersi oren sebagai pakar pecut LTdL pastinya menjadi idaman Syritsa selepas misi itu tidak kesampaian tahun lalu apabila dia dinafikan pelumba Tudor dari Belanda, Arvid de Kleijn yang mengunggulinya dengan 72 mata keseluruhan diikuti Syritsa (58 mata) dan Sasha Weemaes (Human Powered Health) 55 mata. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top