LTdL 2025 tawar saingan kompetitif

LTdL 2025 tawar saingan kompetitif


PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 akhir September depan bakal menyaksikan saingan kompetitif dan peluang muncul juara adalah terbuka.

Ia susulan ketiadaan dua nama besar, juara keseluruhan edisi lalu, Max Poole dan Raja Pecut 2023, Simon Pellaud.

Malah tanpa kelibat jagoan itu juga tidak menjejaskan aura dan prestij perlumbaan berbasikal berstatus ProSeries tersebut.

Lebih menarik edisi ke-29 bermula 28 September hingga 5 Oktober ini tetap meriah dengan penyertaan tiga pasukan WorldTeam, lapan ProTeam dan 11 pasukan lain termasuk pasukan kebangsaan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif LTDL, Emir Abdul Jalal berkata, edisi kali ini tetap menjanjikan saingan sengit, lebih-lebih lagi dengan pengesahan penyertaan beberapa pelumba elit Eropah yang memiliki reputasi tinggi di pentas Grand Tour.

“Tiga WorldTeam yang sudah sah adalah XDS Astana Team dari Kazakhstan, Team Picnic PostNL dari Belanda (dahulunya DSM-Firmenich PostNL) dan Cofidis dari Perancis.

“Kami difahamkan Picnic PostNL akan menurunkan Fabio Jakobsen, Uno-X Mobility menyenaraikan Alexander Kristoff, manakala Tudor meletakkan pakar pecut, Alberto Dainese.

“Ini satu penghormatan besar buat LTDL kerana ketiga-tiga pelumba ini bukan calang-calang – mereka ada koleksi kemenangan dalam Tour de France, Giro d’Italia serta perlumbaan klasik di Eropah,” katanya pada sidang media pengumuman pasukan di Bukit Jalil pada Khamis.

Emir turut mengingatkan bahawa senarai pelumba yang diumumkan masih tertakluk kepada perubahan saat akhir, berdasarkan peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang menetapkan tarikh akhir penyerahan hanya 72 jam sebelum perlumbaan bermula.

“Biasanya pasukan hantar lebih awal sebab melibatkan urusan logistik dan visa, tapi setiap tahun kita tetap saksikan kejutan. Ini realiti LTDL, yang memang terkenal dengan kejutan saat akhir,” ujarnya.

Selain pasukan WorldTeam, enam daripada lapan ProTeam yang bakal bertanding juga bukan asing di pentas Grand Tour.

Tiga pasukan pernah beraksi dalam Tour de France musim ini iaitu Total Energies, Tudor Pro Cycling Team dan Uno-X Mobility, manakala VF Group–Bardiani CSF–Faizane dan Team Polti–VisitMalta dari Itali merupakan penyertaan tetap Giro d’Italia.

Pasukan Sepanyol, Burgos-BH pula membawa pengalaman dari Vuelta a Espana. Dua lagi pasukan ProTeam ialah pendatang baharu Unibet-Tietema Rockets (Perancis) dan Team Solution Tech–Vini Fantini (Itali).

Saingan 2025 juga menyaksikan penyertaan 10 pasukan Continental termasuk dua wakil tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) selain skuad kebangsaan negara.

Tujuh pasukan lain yang kembali menyertai LTDL ialah Nusantara-BYC (Indonesia), HKSI Pro Cycling Team (Hong Kong), Aisan Racing Team (Jepun), KSPO Professional (Korea Selatan), St George Continental Cycling Team (Australia), 7Eleven Cliqq Roadbike (Filipina) dan Thailand Continental Cycling Team. Chengdu DYC Cycling Team dari China pula bakal membuat penampilan sulung dalam jelajah ini.

LTdL 2025 akan merentasi kesemua 12 negeri di Semenanjung meliputi jarak keseluruhan sejauh 1,257.8 kilometer dengan lapan peringkat perlumbaan yang direka untuk menguji keupayaan taktikal dan fizikal setiap pasukan.

Tanpa kehadiran pendakian ikonik Genting Highlands, sekali gus menjadikan saingan lebih terbuka.



Source link

OR

Scroll to Top